Pada Jun 2009, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) telah mengemukakan satu laporan mengenai isu pemotongan bekalan air di Pangsapuri Seri Bakawali, Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

“Laporan ini dibuat berikutan daripada aduan penduduk perumahan tersebut kepada WECAM mengenai masalah mereka”, kata Puan Lim Shok Hong, Pengurus WECAM.


WECAM menghantar satu lagi surat peringatan mengenai masalah ini kepada semua pihak yang bertanggungjawab pada 13 April 2010.

“Ekoran daripada surat peringatan tersebut, kata Lim Shok Hong, "Biro Pengaduan Awam (BPA) telah mengambil langkah proaktif dan telah menghubungi pihak pengadu.”

Pada 18 April 2010, jam 1.00 petang, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah telah melawat kawasan perumahan tersebut. Hasil lawatan tersebut, BPA membuat keputusan bahawa permasalahan itu adalah tanggungjawab pemaju.

Senator Murugiah juga telah mengarahkan SYABAS supaya menyambung semula bekalan air dan memasang meter individu. Pengguna di pangsapuri itu diberikan masa selama dua hari untuk menyelesaikan masalah mereka.

Lim menambah, “WECAM juga telah mengemukakan beberapa masalah lain yang berkaitan dengan sistem bekalan air di pangsapuri itu. Setiausaha Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Bakawali, Nathan telah menelefon Setiausaha Agung WECAM petang semalam untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan yang telah diberikan oleh WECAM kepada mereka.”

Ujar Lim lagi, “WECAM juga telah meminta pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengumpul maklumat mengenai bangunan-bangunan bertingkat (pangsapuri, kondominium dan perumahan kos rendah) yang mengalami masalah yang sama.”

WECAM sedang mengkaji beberapa kemungkinan untuk menambah baik undang-undang mengenai isu bekalan air di bangunan bertingkat.

Lim Shok Hong
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
19 April 2010