Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Encik Muhammad Sha’ani Abdullah merupakan salah seorang tujuh muka baru yang dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Perlantikan Ahli Suruhanjaya Suhakam dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam kenyataan medianya pada 7 Jun yang lalu, sebagaimana yang disiarkan oleh media massa.


Encik Muhammad Sha’ani telah melibatkan diri secara aktif dalam pergerakan pengguna semenjak tahun 1996. Pada tahun 1998, beliau dilantik sebagai Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pahang. Beliau menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung FOMCA semenjak tahun 2004.

Pada tahun 2008, beliau dilantik sebagai Ketua Eksekutif, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). Sebelum itu, beliau telah berkhidmat dengan Kumpulan Felda dari tahun 1984 hingga 2007.

Pelantikan Encik Muhammad Sha’ani sebagai ahli suruhanjaya Suhakam, merupakan wakil FOMCA yang kedua selepas Datuk Profesor Mohd Hamdan Adnan, yang menjadi ahli Suruhanjaya Suhakam antara tahun 2000 hingga 2006.

Selain Encik Muhammad Sha’ani, Perdana Menteri juga mengumumkan perlantikan Pengerusi Suhakam yang baru, iaitu Tan Sri Hasmy Agam, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDHL). Selain itu, turut dilantik ialah Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, James Deva Nayagam, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi A.Majid, Jannie Lasimbang dan Detta anak Samen.

Suhakam mempunyai 16 orang ahli Suruhanjaya, yang memegang jawatan tersebut selama tempoh 2 tahun, bagi setiap pelantikan.

Mohd Yusof Abdul Rahman
8 Jun 2010