Bil prorata TNB pastikan pengguna tidak terlebih caj - MahdzirJun 2, 2020 12:39 MYT

SHAH ALAM: Pelarasan bil TNB menggunakan kaedah prorata memastikan pengguna tidak akan terlebih caj, kata Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelasnya, kaedah itu juga telah disemak dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan berdasarkan penggunaan sebenar elektrik setiap bulan.

Ujarnya, bil sebenar yang diberikan akan dibahagi sama rata untuk jumlah bulan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujarnya, penggunaan bulanan itu adalah angka yang didarabkan dengan kadar blok tarif bagi setiap bulan.

"Ada sebahagian pengguna kediaman kami yang agak terkejut apabila menerima bil sebenar mereka yang lebih tinggi dari kebiasaan. Secara amnya sepanjang tempoh PKP, iaitu kira-kira 3 bulan sejak 18 Mac lalu, kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman telah meningkat antara 20 hingga 50 peratus.

"Antara faktor yang mendorong kepada peningkatan terhadap sektor kediaman ini adalah kebanyakan rakyat Malaysia berada di rumah sepanjang hari memandangkan arahan untuk ‘stay at home’. Jadi sebahagian daripada kita bekerja dari rumah, anak-anak juga tidak hadir ke sekolah dan ini secara langsung menyebabkan penggunaan elektrik meningkat.

"Ada juga segelintir yang balik ke kampung semasa cuti sekolah dan terus tersekat di sana. Ini menyebabkan penggunaan elektrik untuk rumah di bandar menurun dan penggunaan elektrik rumah di kampung meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas membuat lawatan ke Kedai Tenaga di sini, pada Selasa.

Sehingga Isnin, sebanyak 27 Kedai Tenaga di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan telah dibuka semula dengan sejumlah 119 Kedai Tenaga telah kembali beroperasi.
Sementara enam lagi baki Kedai Tenaga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh Semenanjung hanya dibuka semula pada 9 Jun nanti.

Dalam pada itu katanya, terdapat juga pengguna yang menggunakan saluran media sosial menyatakan kekeliruan mereka mengenai bil elektrik yang tinggi serta mempersoal kaedah pelarasan bil yang digunapakai.

"Saya harap, kepada pelanggan kami yang memerlukan penjelasan mengenai bil mereka, silalah berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan kami yang sentiasa sedia membantu.

"Setakat ini, data yang kami ada menunjukkan sebab utama pelanggan berkunjung ke Kedai Tenaga bukanlah untuk bertanya berkenaan bil tinggi serta pelarasan bil.

"Majoriti mereka atau 42 peratus pelanggan yang datang adalah untuk mendapatkan salinan bil manakala 58 peratus lagi adalah berkaitan hal-hal lain perkhidmatan TNB seperti pembayaran bil, menutup akaun, pertanyaan tentang bil serta pelarasan dan hal-hal lain," jelasnya.

Sumber: https://beta.astroawani.com/berita-malaysia/bil-prorata-tnb-pastikan-pengguna-tidak-terlebih-caj-mahdzir-245292