2 Jun 2020
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan skim bayaran ansuran bulanan kepada pengguna domestiknya bagi bayaran bil elektrik mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac, April dan Mei.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, plan bayaran mudah itu diberikan secara automatik kepada 7.4 juta pengguna dengan tempoh bayaran selama enam bulan sehingga Disember 2020.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban pengguna yang terjejas ketika negara berdepan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Begitupun selain bayaran ansuran bagi bil elektrik dalam tempoh tiga bulan itu, pengguna juga perlu membayar bil semasa mereka.
“Pengguna digalakkan untuk datang ke Kedai Tenaga atau menghubungi talian TNB Careline 1-300-85-5454 untuk memperincikan bil dan cara bayaran ansuran yang perlu dilakukan oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kedai Tenaga TNB di Shah Alam di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/85937/BERITA/Nasional/TNB-tawar-skim-bayaran-ansuran-bil-elektrik