Khamis, 21 Mei 2020 @ 10:35 AM

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak membuat bacaan meter sebaliknya mengeluarkan bil anggaran berdasarkan kepada maklumat purata penggunaan pada bulan sebelumnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 30 April lalu.

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, sekiranya pelanggan mendapati bil anggaran pada Mac yang dikeluarkan sebelum ini terlebih caj dan pembayaran sudah dibuat ke atasnya,maka jumlah itu akan direkodkan di dalam akaun pelanggan.

Manakala, sekiranya terkurang (bil), ia akan ditambah di dalam bil bulan berikutnya berdasarkan bacaan meter sebenar.

"Bermula 2 Mei lalu, pembacaan meter mula dilaksanakan oleh Air Selangor dan bil pada Mac akan diselaraskan dengan April serta Mei berdasarkan kepada bacaan sebenar meter di premis perniagaan.

"Selain daripada itu, bil bulanan tinggi juga disebabkan oleh penggunaan semasa PKP yang tinggi berbanding bulan sebelumnya.

"Pelanggan disarankan melayari laman web Air Selangor di http://www.airselangor.com.my-water-smart/water-tariff information bagi mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai jadual tarif bil air," katanya.

Menerusi kenyataan sama, Air Selangor memaklumkan, bil air tinggi juga boleh terjadi disebabkan kebocoran pada sistem paip dalaman premis.

Justeru, pelanggan dinasihatkan melantik tukang paip berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan kerja pembaikan dengan segera.

" Pelanggan dinasihatkan menggunakan air secara berhemat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Sekiranya bil air tinggi disyaki berpunca daripada bacaan meter yang salah, pelanggan digalakkan menghubungi Air Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.

Maklumat lanjut dan bantuan mengenai bil dan bekalan air boleh didapati dengan menghubungi talian 15300, Whatsapp ke 019-2800919 atau 019-2816793 , ke laman sosial rasmi di Facebook (FB) Twitter dan Instagram (IG) dan melayari laman web rasmi Air Selangor di www.airselangor.com.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/05/581024/bil-anggaran-berdasarkan-purata