Semakin hari rakyat semakin bingung. Adakah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih “laku” di negeri masing-masing? Apabila ada pula percanggahan pendapat antara kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat mengenai SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat sudah mula keliru arahan yang mana yang mereka perlu patuhi malah ada yang mengambil kesempatan dalam perkara ini dengan tidak mematuhi arahan PKP di mana mereka sudah mula bergerak bebas ke sana ke sini dan ada juga yang mula berkerumun di sesebuah kedai demi juadah berbuka puasa.

PKPB ini dilihat adalah langkah yang terbaik untuk menyeimbangkan keperluan ekonomi tanpa mengetepikan isu kesihatan dan juga untuk membiasakan rakyat dengan keadaan normal baharu. PKPB bukan bermaksud rakyat bebas untuk bertebaran ke sana ke sini. Dalam tempoh PKPB ini hanyalah kelonggaran untuk rakyat keluar bekerja dan bagi yang bekerja sendiri malah peniaga-peniaga kecil juga dibenarkan untuk keluar mencari rezeki tetapi dengan keadaan yang bersyarat. Namun begitu, kerajaan Pusat dan juga kerajaan Negeri seharusnya bersatu hati dalam mengeluarkan SOP yang rakyat perlu patuhi supaya rakyat tidak lagi keliru dengan arahan yang mereka perlu patuhi.

Pada saat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bertungkus lumus membuat strategi dalam mengekang Covid-19 dari terus merebak, janganlah disebabkan masalah politik yang tidak pernah sebulu pula menjadi punca kegagalan strategi yang telah dibuat oleh KKM. Yang akhirnya menderita ialah rakyat marhaen yang bukan sahaja akan berdepan dengan krisis ekonomi tetapi juga krisis kesihatan. Jika ramai rakyat yang tidak sihat, adakah mereka masih ada masa untuk jana ekonomi setempat?

Rakyat dan juga sebagai seorang pengguna di Malaysia perlu mula belajar menyesuaikan diri dengan perkara paling asas normal baharu seperti jaga jarak (penjarakan sosial), memakai topeng muka apabila keluar dari tempat kediaman, sentiasa basuh tangan dengan sabun atau cecair nyah kuman (hand sanitizer), jaga kebersihan diri, dan elakkan berada di tempat tumpuan orang ramai. Sama ada Malaysia berjaya atau tidak untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 adalah bergantung kepada kita semua, ye bergantung kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Perkara ini bersesuaian dengan slogan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang tidak pernah lapuk dek zaman iaitu “Perubahan Bermula Dari Diri Anda”.

Dalam tempoh PKPB turut dilihat waktu operasi premis perniagaan juga telah dibenarkan beroperasi seperti biasa iaitu dari 10 pagi sehingga 10 malam. Namun begitu, perkara ini bukanlah tiket kebebasan untuk pengguna keluar bebas bertebaran ke sana ke sini. Lanjutan waktu operasi ini secara tidak langsung boleh mengelakkan kepadatan pengguna dalam satu-satu masa. Diharap pengguna lebih bijak dalam menguruskan masa untuk keluar berbelanja keperluan asas malah keperluan persediaan kelengkapan barang-barang raya Aidilfitri juga.

Sekarang adalah masa untuk pengguna belajar menguasai pembelian barangan keperluan secara online. Selain itu, pengguna boleh juga menggunakan perkhidmatan “Pesan Dulu Bayar Kemudian” yang disediakan oleh kebanyakan pasaraya. Pengguna boleh memesan terlebih dahulu barang dengan pihak pengurusan pasaraya dan pengguna boleh tunggu di dalam kereta. Apabila barang yang dipesan telah siap tersedia, maka pengguna boleh ke kaunter pasaraya untuk urusan pembayaran. Perkara ini secara tidak langsung boleh mengelakkan pengguna dari berkumpul di tempat orang ramai dan juga untuk mengelakkan diri dari terus terdedah dengan persekitaran yang tidak sihat di luar sana.

Pada 7 Mei 2020, KKM telah melaporkan 10 kes positif baharu adalah berpunca daripada kluster pusat beli belah. Malah kluster pasar basah juga masih aktif. Oleh sebab itu, pengguna perlu lebih berhati-hati dalam mengunjungi pusat beli belah, pasaraya mahupun pasar basah sekalipun. Pengguna perlu belajar hadkan pergerakan ke tempat-tempat ini untuk memutuskan rangkaian penularan Covid-19. Sama-sama kita bantu pihak kerajaan untuk menghapuskan Covid-19 di seluruh pelusuk negeri di Malaysia. Kita jaga kita!

Nur Asyikin Aminuddin
FOMCA