Air merupakan keperluan asas kepada manusia. Secara purata, badan manusia meliputi antara 60% hingga 65% air, manakala tisu-tisu dalam otak manusia pula mengandungi 85% air. Badan manusia boleh bertahan sehingga empat minggu tanpa makanan tetapi hanya boleh hidup tiga hari sekiranya tidak minum air. Air minuman boleh didapati pada kadar yang murah dan muda didapati di dalam negara. Namun, masih ramai yang memilih untuk minum minuman soda yang berlebihan dalam kehidupan harian.
Air adalah penting sebagai pengangkutan nutrien, hormon, toksin dan hasil kumbahan dalam sistem badan. Tenaga seharian bergantung kepada air dan kekurangan air adalah penyebab utama kepada keletihan pada siang hari. Badan memerlukan sekurang-kurangnya 2 liter air sehari bagi memastikan sistem badan berfungsi dalam keadaan yang optimum. Selain itu, air juga merupakan pembantu diet, pengurang lemak badan dan juga mengurangkan pengumpulan sodium dalam badan.
Minum air yang mencukupi dapat membantu mengubati alergi, asma, kemurungan, tekanan darah tinggi, diabetes, sakit kepala dan keletihan. Di samping itu, lapan hingga sepuluh gelas air sehari akan dapat mengurangkan sakit belakang dan sakit sendi.
Menurut kajian, kebanyakan rakyat di Malaysia tidak meminum air yang mencukupi sehingga mereka mengalami dehidrasi. Hanya sebanyak 2 peratus penurunan air dalam badan mencukupi untuk menyebabkan kehilangan ingatan jangka pendek, masalah untuk matematik asas dan tidak dapat menumpukan perhatian. Menurut kajian yang telah dijalankan, minum 5 gelas air sehari dapat mengurangkan kadar kanser kolon sebanyak 45%, kanser payu dara sebanyak 79% dan kanser pundi kencing sebanyak 50%.
Secara purata di Malaysia, pernah dilaporkan bahawa sebanyak 1000 tin minuman ringan diminum pada setiap minit. Dalam masa sepuluh tahun sahaja, keperluan minuman ringan dalam golongan remaja dan kanak-kanak telah meningkat dua kali ganda. Bahan aktif dalam minuman ringan adalah asid fosforik yang mengganggu penyerapan kalsium dan menyebabkan kereputan gigi dan tulang. Disebabkan itu, tulang-tulang akan menjadi semakin rapuh dan mudah retak ataupun patah.
Gula merupakan isu utama dalam minuman ringan. Satu tin minuman ringan mengandungi 10 sudu gula dan 150 kalori. Selain itu, gula juga meningkat tahap insulin yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung, kegemukan, diabetes dan pelbagai kesan buruk yang lain. Syarikat-syarikat minuman ringan ini juga menggunakan gula buatan seperti Aspartame sebagai pengganti kepada gula. Terdapat 92 jenis kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh penggunaan aspartmane, seperti kanser otak, diabetes, kecacatan, epilepsi dan kemurungan.
Selain kandungan gula yang tinggi dalam minuman ringan, kandungan kafein juga adalah setinggi 30mg hingga 55mg dalam satu tin. Kafein yang berlebihan berpotensi menyebabkan insomia, tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak selaras, kolesterol dalam darah yang tinggi, kehilangan vitamin dan mineral dalam badan dan pelbagai jenis kanser. Di samping itu, minuman ringan juga mengandungi banyak perisa dan pewarna yang tidak memberi manfaat kepada tubuh badan.
Secara kesimpulan, minuman ringan adalah sebab kepada banyak jenis penyakit. Minum minuman ringan juga menghilangkan selera untuk makan sayur-sayuran, protein dan makanan lain yang diperlukan oleh badan.
Oleh itu minumlah air minuman biasa dan bersih untuk kesihatan anda!
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia