Label pemakanan yang terdapat pada makanan segera tidak akan menghentikan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Melabelkan fakta pemakanan pada bungkusan burger, kentang goreng dan produk lain yang mengandungi lemak tinggi, tidak menunjukkan sebarang perbezaan dalam pemilihan restoran yang ingin dikunjungi.

Walaupun peraturan mewajibkan pelabelan mandatori ini, tetapi kajian yang dijalankan selama 13 bulan menunjukkan cita rasa pengguna masih tetap sama, iaitu menggemari makanan yang berkalori tinggi.

Profesor Eric Finkelstein dari Duke-National, University of Singapore berkata, hasil kajian yang dilakukannya menunjukkan tiada sebarang perubahan dalam corak pembelanjaan yang dapat dikesan, walaupun peraturan telah dilaksanakan.

Pelabelan wajib ini tidak akan dapat untuk mempengaruhi gejala obesiti. Namun jika ia digabungkan dengan langkah-langkah lain, maka ia dapat mengurangkan kes kegemukan.

Sebanyak 15 restoran telah mengambil bahagian dalam projek obesiti yang dilakukan di Washington.

Restoran makanan segera hendaklah mendedahkan maklumat kalori bagi setiap makanan yang dijual. Beberapa syarikat makanan segera di England, termasuk McDonald’s, mencetak fakta tentang kalori, lemak, garam dan kandungan karbohidrat makanan untuk membantu orang ramai membuat pilihan yang sihat.

Walaupun begitu, menurut American Journal for Preventive Medicine, penjualan dan purata kalori per transaksi tidak berubah dengan pelaksanaan pelabelan mandatori itu.

Ini mungkin disebabkan oleh maklumat pemakanan yang terperinci ini bukan cara terbaik untuk menyampaikan isu kesihatan tentang makanan segera dengan berkesan.

Sebagai contoh, jika anda mengetahui restoran yang menawarkan minuman soda diet yang biasa, tetapi adakah maklumat kalori dalam minuman soda diet ini berguna. Golongan yang memerlukan minuman kalori rendah pasti inginkan minuman soda diet ini.

Sebelum peraturan ini dikuatkuasakan, sesetengah restoran telah mengenal pasti logo kesihatan yang akan diletakkan pada menu makanan.

Logo yang ringkas ini menunjukkan jenis makanan yang lebih sihat. Maklumat ini hanya berguna bagi mereka yang ingin memilih makanan yang lebih sihat, tetapi tidak menyumbang kepada usaha untuk menangani isu obesiti.

Prof Finkelstein menyatakan bahawa walaupun panel fakta pemakanan diwajibkan untuk semua makanan dibungkus, tetapi kadar obesiti masih meningkat di Amerika Syarikat.

Kajian lebih lanjut perlu dilakukan untuk menentukan punca dan maklumat yang dapat memupuk pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Di Malaysia, Peraturan-Peraturan Makanan mewartakan bahawa semua makanan dibungkus perlu mempunyai panel fakta pemakanan. Kebanyakan makanan dibungkus mempunyai panel fakta pemakanan, tetapi ada juga makanan dibungkus yang dikeluarkan oleh industri kecil dan sederhana yang tidak mempunyai sebarang panel fakta pemakanan.

Masalah ini perlu ditangani agar pengguna dapat menikmati makanan yang sihat untuk tubuh mereka. Jika maklumat pada panel tidak dibekalkan, jenis khasiat makanan yang diambil tidak akan diketahui.

Walaupun kajian terhadap peraturan pada panel fakta pemakanan di Amerika Syarikat tidak menunjukkan keputusan yang menggalakkan, tetapi Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia tetap yakin bahawa maklumat yang dicetak itu dapat memberi panduan pada pengguna agar bersikap berhati-hati terhadap makanan yang mereka ambil.

Pengguna digalakkan untuk meneliti panel fakta pemakanan sebelum membeli suatu produk makanan. Elakkan produk yang tidak mempunyai sebarang label.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia