Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membantu pemilik Honda HR-V yang mengalami masalah selepas dihantar ke pusat servis Honda di Terengganu.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Noriya Mamat, 37, yang memaklumkan KPDN akan membantunya bagi mendapatkan sebuah kereta baharu selepas Honda HR-V miliknya mengalami masalah sejak 4 September lalu.
Jelas Noriya, pihak KPDN dijangka mengadakan satu mesyuarat bersama Honda pada minggu hadapan untuk berbincang mengenai tuntutan bagi mendapatkan kereta baharu.
“Lebih 20 jenis komponen pada kereta saya sudah ditukar ganti kecuali kotak gear, cermin, tayar dan enjin.
“Bagaimanapun masalah kerosakan pada lampu hadapan tidak boleh laras, lampu penunjuk pada papan pemuka berkeli-kelip dan lampu kecemasan menyala tetap ada,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.
Jelas Noriya, dia juga telah memaklumkan kepada pihak Honda Malaysia bahawa mahukan kereta baharu kerana risau akan masalah sama berulang kembali.
“Pegawai Honda kata dia akan mengusulkan tuntutan saya pada pihak pengurusan, bagaimanapun keputusannya masih tidak diketahui lagi.
“Jika Honda telah baiki kereta HR-V saya dan boleh pakai semula, saya bimbang akan berlaku perkara yang sama pada masa akan datang.
“Kereta tersebut akan dipakai untuk jangka masa yang lama dan saya tidak mahu berulang alik ke pusat servis Honda hanya untuk membaiki kerosakan yang sama,” jelasnya.
Tambah Noriya, kereta HR-V miliknya kini berada di Honda Shah Alam dan juruteknik meminta masa satu bulan untuk mengenal pasti punca kerosakan.
Katanya, dia berasa lega apabila terdapat campur tangan KPDN dalam kes ini dan berharap proses pemilikan kereta idamannya akan berjalan dengan lebih lancar.
“Saya berharap perkara ini boleh selesai cara baik dan saya boleh dapat kereta baharu sama seperti sebelum ini.
“Mengenai pampasan, saya akan berbincang lebih lanjut selepas menerima keputusan daripada Honda mengenai tuntutan kereta baharu.
“Jika tidak, saya akan berfikir akan mengambil tindakan tribunal,” jelasnya.