PUTRAJAYA: Dua pengarah syarikat perkhidmatan umrah dan haji, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjumlah RM589,031 tahun lalu.

Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan isterinya, Datin Mazuin Mustafa, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-63, syarikat itu, Zulkarnain dan Mazuin sebagai OKS pertama, kedua dan ketiga masing-masing dituduh atas 21 pertuduhan gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan supaya membayar RM589,031 kepada 21 individu yang menuntut wang itu.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat TTPM, Aras 5, Podium 2, No.13, Persiaran Perdana, Presint 2, di sini antara 8 Jun hingga 25 Ogos 2023.

Oleh yang demikian, OKS dan syarikatnya didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria manakala OKS diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya memberikan ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan, menyerahkan pasport dan melapor diri setiap bulan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Bagaimanapun, peguam OKS membantah jumlah ikat jamin tersebut dengan berpendapat jumlah berkenaan adalah membebankan untuk masing-masing 21 pertuduhan.

Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua pihak, Majistret Irza Zulaikha membenarkan pasangan suami isteri itu diikat jamin RM6,300 bagi kedua-dua OKS, selain syarat tambahan seperti dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Media pada 29 November lalu melaporkan, polis menerima sebanyak 399 laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah oleh syarikat Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. melibatkan kerugian bernilai RM14.2 juta sejak Januari lalu.

Jumlah berkenaan direkodkan setakat 27 November itu melibatkan 1,614 jemaah umrah.

Pada 8 Julai 2023, lesen syarikat berkenaan digantung selama enam bulan berkuat kuasa 10 Julai hingga 9 Januari 2024.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara itu diputuskan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.