Selasa, 2 Februari 2021 @ 2:42 PM
Kuala Lumpur: Seorang pekerja swasta kerugian RM3,600 selepas tersilap melayari laman sesawang bank palsu menggunakan komputer riba, kelmarin.
Azizul Osman, 38, berkata, dia melayari laman sesawang bank terbabit ketika berada di rumahnya di Bandar Baru Bangi, pada 3.38 petang.
Menurutnya, pada mulanya dia tidak menyedari laman sesawang itu bukan yang sebenarnya dan seperti biasa memasukkan kata pengguna serta kata laluan.
"Saya kemudian menerima TAC (kod pengesahan transaksi) dan dikehendaki mengisinya di dalam laman sesawang bank terbabit, saya hanya mengikut arahan itu.
"Selepas itu barulah saya sedar seperti ada sesuatu tidak kena sebelum memeriksa semula menggunakan telefon bimbit, namun terkejut apabila mendapati wang di dalam akaun bank hilang," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azizul berkata, terkejut dengan kejadian itu, dia kemudian terus menghubungi pihak bank untuk menyekat akaun terbabit.
"Bagaimanapun wang itu tidak dapat dikembalikan kerana difahamkan individu yang mengambil wang itu sudah menggunakannya untuk permainan dalam talian.
"Susulan itu, saya juga sudah membuat laporan polis hari kelmarin untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, mereka yang ingin melakukan transaksi secara dalam talian menggunakan laman sesawang perbankan dalam talian hendaklah berhati-hati dan pastikan bahawa laman sesawang itu adalah asli.
"Jika tidak pasti rujuk dengan bank supaya mereka boleh beri panduan ke laman sesawang yang betul.
"Jika mereka menyedari ada melayari laman sesawang 'phishing' yang disediakan oleh scammer, mereka hendaklah terus berhubung dengan bank untuk membuat pembatalan jika sudah melakukan transaksi," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/670453/tersilap-layari-laman-sesawang-bank-palsu