Selasa, 26 January 2021 @ 2:34 PM
Alor Setar: Akibat terdesak untuk mendapatkan wang, seorang wanita kerugian RM84,290 selepas ditipu dengan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud pada awal bulan ini.
Wanita berusia 32 tahun yang bekerja sendiri dan masih belum berkahwin dari Kulim itu dikatakan berurusan dengan individu yang menyamar sebagai ejen dari syarikat pinjaman wang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, suspek memperkenalkan dirinya sebagai Bryan Leong dan menawarkan pinjaman wang mudah lulus.
"Mangsa yang terdesak mahu mendapatkan pinjaman bersetuju untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM15,000 dan suspek menjanjikan kelulusan segera bagi pinjaman berkenaan.
"Selepas berjaya mendapatkan kepercayaan mangsa untuk membuat pinjaman, suspek meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran seperti insurans, membuka fail, bayaran percubaan dan sistem pembayaran pinjaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Elias berkata, mangsa kemudiannya membuat pemindahan wang sebanyak 38 transaksi membabitkan 11 akaun bank yang diberikan suspek sejak awal bulan ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan pindahan wang yang dibuat mangsa berjumlah RM84,290.
"Mangsa dikatakan terpaksa meminjam wang daripada keluarganya bagi membuat bayaran itu.
"Bagaimanapun, penipuan itu mula disedari mangsa apabila suspek meminta mangsa membuat beberapa lagi bayaran dan menyatakan jika mangsa mahu membatalkan pinjaman, dia perlu membayar sejumlah wang lagi," katanya.
Elias berkata, berikutan itu mangsa mengesyaki sesuatu mencurigakan dan ditipu oleh individu terbabit.
Berikutan itu, katanya, mangsa membuat laporan polis di Lunas, Kulim semalam dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini.
"Jangan mudah menyerahkan segala maklumat peribadi secara dalam talian dan pastikan sentiasa buat semakan dengan pihak polis atau pihak berkaitan bagi membuat pengesahan," katanya.
Elias berkata, pihaknya juga mengingatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat daj modus operandi jenayah komersil terkini melalui http://www.facebook.com.my/CyberCrimeAlertRMP/," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/668179/terdesak-mahukan-wang-wanita-tertipu-rm84290