Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penurunan gas rumah hijau boleh dilakukan secara mendadak.  Penurunan kadar gas rumah hijau, yang telah menggugat iklim dunia, boleh dicapai oleh industri dengan kos yang berpatutan dan dasar yang bersesuaian.  

Dalam satu siri kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pembangunan Perindustrian (UN Industrial Development Organization, UNIDO), iaitu sebuah agensi PBB,  telah mengenal pasti beberapa langkah yang penting seperti kecekapan tenaga, tenaga yang boleh diperbaharui dan pengumpulan semula gas rumah hijau bagi memastikan suhu purata dunia tidak naik sehingga melebihi 20C pada tahun 2050. UNIDO ialah agensi yang ditugaskan untuk mempromosikan pembangunan lestari dalam sektor industri di negara-negara sedang membangun.


Tenaga yang boleh diperbaharui berupaya untuk membekalkan sebanyak 21% tenaga yang diperlukan oleh sektor industri pada tahun 2050, Ia juga membekalkan tenaga yang mencukupi untuk menangani bencana-bencana pada masa akan datang seperti kemarau, banjir, kenaikan paras laut, ribut melampau, kecairan ais di kutub dan kesan-kesan lain yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Sebanyak dua gigaton gas karbon dioksida, iaitu hampir 25% daripada jumlah pengurangan pelepasan yang diramalkan dalam sektor industri, akan dikurangkan melalui pelan-pelan yang telah dirancang. Selain itu, ia juga menyamai jumlah gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol pada masa ini. 

Menurut laporan tersebut, pada masa ini, purata kecekapan tenaga dunia ialah hampir 26%. Untuk membantu negara-negara membangun, angka ini perlu ditingkat satu kali ganda lagi supaya berada pada paras yang sama dengan negara-negara maju. 

Usaha pengumpulan semula gas karbon dioksida merupakan langkah terakhir yang digunakan selepas semua langkah yang dirancang itu telah digunakan. Menurut UNIDO, teknologi ini sedang membangun dengan pesatnya,  bukan sahaja untuk kegunaan stesen jana kuasa, malah juga dapat digunakan dalam pelbagai peralatan industri. 

Dari segi kemampuan, UNIDO menekankan bahawa banyak langkah yang telah dirangka berupaya untuk menurunkan kos dan meningkatkan pengeluaran dan daya saing. Tenaga-tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan biojisim mempunyai potensi yang tinggi dalam pasaran yang akan datang jika dibandingkan dengan bahan api fosil. 

Dalam satu laporan, ia menunjukkan bahawa daya saing antara tenaga yang boleh diperbaharui dan bahan api fosil banyak bergantung kepada dasar tenaga sesuatu negara dan harga tenaga. Sekiranya dibandingkan kos tenaga yang boleh diperbaharui dengan kos bahan api fosil yang telah banyak diberi subsidi oleh kerajaan pusat, maka sudah pasti kos tenaga yang boleh diperbaharui lebih mahal dan tidak mendapat perhatian umum. 

Mengikut fakta dan pasaran yang dipantau dalam negara yang tidak memberikan subsidi kepada bahan api fosil, kedua-kedua jenis tenaga tersebut dapat bersaing dalam pentas yang sama. Jika dilihat dari sudut jangka masa panjang, tenaga yang boleh diperbaharui pasti menjadi pilihan utama apabila dunia sedang berusaha untuk mengurangkan gas rumah hijau dan mencari sumber tenaga yang bersih. Oleh itu, bagi memastikan semua ini berlaku, para pembuat dasar negara perlu memainkan peranan yang penting. 

Dalam perundingan mengenai iklim di Cancun yang lalu, PBB juga telah terlibat dalam usaha menangani perubahan iklim. Hasilnya ialah satu dana khas akan ditubuhkan untuk membantu negara-negara sedang membangun dalam usaha untuk mengurangkan aktiviti pembasmian hutan dan menghadapi kesan-kesan perubahan iklim. 

Sebagai pengguna yang prihatin, setiap orang perlui berusaha untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan mengubah sikap materialistik. Sekiranya pengguna gagal bertindak, maka bumi yang disayangi ini juga akan gagal. 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia