Masih ramai rakyat Malaysia yang enggan mendapatkan kaunseling apabila menghadapi tekanan. Akhirnya ada yang mengambil keputusan drastik; dan paling membimbangkan ialah membunuh diri. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang pelajar tingkatan lima membunuh diri. Dalam kes yang berasingan, seorang ibu telah membunuh diri selepas mencampakkan anak kecilnya dari tingkat empat sebuah pangsapuri.
Peningkatan taraf hidup dan pembangunan yang pesat negara, kadang-kala telah menyebabkan masalah kepada golongan tertentu. Antaranya masalah tekanan atau stres daripada rutin kehidupan harian sama ada berpunca dari kerja, persekitaran atau individu lain.
Namun begitu, masalah ini tidak sewajarnya dipandang mudah dan memendamkannya sehingga boleh mengganggu emosi dan rohani.
Tan Sri Lee Lam Thye, pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyatakan bahawa seorang daripada empat orang rakyat Malaysia menderita dari masalah mental.
Antara yang boleh dilakukan bagi menangani masalah tekanan ialah menjalani hidup sihat , seperti bersenam. Apabila bersenam, badan akan mengeluarkan endorphin - iaitu hormon gembira dan sekaligus dapat mempertingkatkan kesihatan fizikal dan mental. Anda tidak perlu menjadi seorang atlit untuk bersenam. Mulakan dengan 20 minit berjalan di sekitar rumah anda.
Begitu juga dengan pegangan agama. Dengan melakukan ibadah atau meditasi boleh mengurangkan stres. Dengan meletakkan tubuh badan dalam keadaan tenang, stres dapat dikurangkan. Berdoa, beribadah atau bermeditasi adalah latihan kerohanian yang boleh dilakukan di rumah dengan bersyukur kepada Tuhan atas segala kebaikan dan rahmat yang anda perolehi.
Selain itu, berbincang dengan seseorang untuk meluahkan sesuatu masalah yang dihadapi. Dapatkan orang yang terdekat dengan anda untuk berbual mengenainya. Jika anda tidak dapat mempercayai seseorang sepenuhnya, pilihan terbaik adalah mendapatkan nasihat kaunseling daripada pakar. Berjumpa dengan seorang pakar psikologi tidak memberi makna bahawa anda mempunyai masalah mental atau gila.
Mulakan hari ini dengan senyuman.
Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia