Selasa, 16 Jun 2020 @ 8:45 AM
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyaksikan Syawal kali ini disambut dalam penuh kesederhanaan oleh rakyat Malaysia lantaran negara masih berperang menangani ancaman pandemik Covid-19.
Kemeriahan Aidilfitri yang biasa disambut saban tahun bagi meraikan kemenangan umat Islam berpuasa kini disambut dengan normal baharu.
Dengan penguatkuasaan PKPB bagi membendung rantaian Covid-19, kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi antaranya mengehadkan ziarah raya hanya pada hari pertama, larangan pergerakan untuk merentas negeri atau balik kampung, larangan mengadakan rumah terbuka serta tiada ziarah kubur.
Walaupun persiapan berhari raya dilalui dengan hanya duduk di rumah terpaksa menjadi pilihan rakyat Malaysia namun nilai kesederhanaan hendaklah menjadi keutamaan kala menghadapi pandemik Covid-19 dengan pelbagai cara tersendiri.
Kelangsungan hidup
Ancaman Covid-19 beserta pelaksanaan PKPB turut memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi masyarakat Malaysia di samping negara turut berhadapan keadaan ekonomi global tidak menentu.
Dalam mendepani krisis ekonomi semasa akibat pandemik Covid-19, aliran tunai yang baik amat perlu bagi memastikan kelangsungan hidup.
Hal ini terutama bagi mereka yang terbabit dalam sektor pelancongan, perhotelan, perindustrian, kewangan, perusahaan kecil dan sederhana, perkhidmatan pusat asuhan kanak-kanak dan sebagainya.
Walaupun kerajaan Malaysia mengambil insiatif dengan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin berjumlah 250 bilion pada 27 Mac lalu yang bermatlamat untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
Kemudian ditambah lagi dengan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) berjumlah RM10 bilion bertujuan membantu usahawan bersaiz mikro yang berdepan kesukaran dalam meneruskan kelangsungan hidup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Situasi ini menuntut kita untuk terus bersederhana dalam menguruskan kewangan demi kelangsungan hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Oleh kerana itu, Islam menganjurkan supaya umatnya memilih sifat pertengahan di antara kedua sifat iaitu berlaku hemah dalam mengeluarkan harta atau perbelanjaan dan berhemat iaitu tidak cenderung kepada kekikiran dan tidak pula kepada pemborosan atau pembaziran (bersederhana).
Ini ditegaskan dalam al-Quran, melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Al-Furqan: 67)
Bagi mengimbangi kefahaman umat dalam perkara ini, ilmuwan Islam juga mengetengahkan konsep Maqasid al-Syariah yang boleh diaplikasikan dalam menguruskan perancangan kewangan dan amalan perbelanjaan keluarga.
Secara khususnya, Imam Al- Ghazali membahagikan maslahah kepada tiga keutamaan iatu darruriyat (bagi memenuhi kelangsungan hidup), hajiyyat (untuk memberi kemudahan) dan tahsiniyyah (untuk kehidupan lebih sempurna).
Beliau turut menggariskan prinsip utama Maqasid al-Syariah kepada lima perkara iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, keturunan dan harta.
Lantaran itu, dalam menghadapi situasi pandemik hari ini, amalan perbelanjaan keluarga perlu mengambil kira sama ada keperluan terbabit adalah daruriyyat, hajjiyat atau tahsiniyyat.
Dalam hal ini, Profesor Hamka dalam karyanya berjudul Falsafah Hidup (hlm.163) ada menukilkan: "Maka kalau sekiranya kita perturutkan sahaja kehendak nafsu, tidak kita beri batas perjalanannya supaya sederhana, tidaklah perjalanan nafsu itu akan berhujung.
"Pada hal jika kita terima sahaja apa yang ada, kita sabar dan tahan hati, kita berusaha hanya menghindarkan pengangguran di dalam hidup, maka nafsu itu akan menerima berapa pun yang ada."
Manakala Dr Yusuf Al-Qardhawi (1996) pernah menyatakan, "Jika kesederhanaan dalam berbelanja dan penjimatan dalam mengguna sudah menjadi kebiasaan dan tradisi satu bangsa, nescaya akan terkumpullah bagi mereka satu potensi kekayaan yang sangat besar. Masyarakat yang mengamalkan konsep ini merupakan masyarakat yang dewasa dan memiliki pemahaman yang matang dalam kehidupan."
Kesimpulannya, selaku umat Islam dan rakyat sebuah negara, kita perlu sedar dan sentiasa bersiap sedia jasmani dan rohani untuk melalui masa gawat dan kesempitan.
Bahkan apa yang lebih penting ialah kesanggupan berubah sikap untuk berjimat cermat, berhemat seterusnya bersederhana dalam amalan perbelanjaan pada setiap masa.
Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Penyelidikan dan Penerbitan, Cawangan Pembangunan Profesionalisme, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/06/590223/berjimat-masa-gawat