Hak merupakan sesuatu milik semula jadi, manakala kebebasan adalah sesuatu yang kita mahukan. Pelbagai tafsiran yang dibuat dalam mendefinisikan kedua-duanya. Hak dan kebebasan merupakan dua perkara yang berbeza tetapi berada di dalam konteks yang sama. Hak adalah satu senarai hak dasar/idea abstrak mengenainya dan dimiliki oleh seseorang individu, sedangkan kebebasan adalah kemampuan individu tersebut untuk melakukan hak tersebut bilamana mahu. 

Definisi dan Takrifan Kebebasan
Dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948, empat kebebasan utama yang dinyatakan adalah kebebasan kemahuan, bersuara, bebas daripada ketakutan dan kepercayaan, manakala hak asasi dihuraikan dalam 22 fasal dalam dokumen itu. Apakah definisi yang menakrifkan maksud sebenar kebebasan?

Definisi kebebasan telah menjadi perdebatan sepanjang zaman dalam kalangan pengkaji sejarah,  ilmuan ahli akademik, ahli politik dan artis. Pelbagai definisi yang telah diberikan.

“Hak untuk memilih, hak untuk menciptakan diri sendiri kepada sesuatu pilihan yang berbeza. Tanpa kemungkinan dan pelaksanaan untuk memilih seseorang itu bukanlah manusia tetapi sebuah alat, benda”(Archibald MacLeaish)

“Kebebasan adalah kemampuan individu untuk diakui tentang diri mereka … Kita tidak akan bebas sehingga kita mula membebaskan pemikiran dan kehidupan dari perkara negatif di sekeliling kita” (Yasene Shpherd, 2007)

Jadi apa yang dapat ditakrifkan sebagai kebebasan bukannya mengenai hak asasi (rights) tetapi sama ada betul atau tidak (right). 

Antara hak dan kebebasan
“Manusia dilahirkan bebas, namun, di mana-mana pun dia dirantai” (Jane Rousseau)

Dalam kata lain, Rousseau menyebut kebebasan adalah satu peluang kepada kita untuk membentuk diri tetapi dengan kekangan tertentu. Seseorang mempunyai kuasa untuk memilih dan melakukan apa yang mereka fikirkan. Tetapi, kebebasan “perlu” diseimbangkan dengan moral dan aturan.

Kita diberitahu bahawa kita mempunyai kebebasan untuk berfikir, berbicara, membuat pilihan, mengeluarkan pendapat dan bergerak ke mana pun yang disukai. Namun, kita dihalang dalam pelbagai cara.  Sebagai contoh, kebebasan dalam memilih calon perwakilan. Demokrasi adalah ejen kepada kebebasan yang bermakna sekiranya pemilihan diadakan dengan adil yang membolehkan pemilih memilih siapapun selagimana calon yang dipilih itu adalah calon yang benar-benar akan menjalankan tugas untuk menjaga kepentingan mereka yang memilihnya. Tetapi apa yang terjadi, kita mungkin tidak bebas memilih calon layak, dan terhalang oleh konsep tiket parti politik.  Perlu diingatkan bahwa, hak untuk mengundi adalah di mana keutamaan istimewa (privilege) diberikan untuk kita memilih.  

Kita juga diberikan pelbagai hak yang disebut dalam dokumen penting negara dan PBB tetapi setiap satunya mempunyai kekangan dengan penjelasan. Sebagai contoh Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan menyebutkan hak tersebut bukan untuk diberi, tetapi untuk diambil kembali (Harding) kerana ia tertakluk kepada Perkara (10)2 iaitu kerajaan boleh mengawal dan mengekangnya dengan lapan hak ramai. (Wong Hon Wai, 2006)

Masyarakat terdahulu mengagungkan hak dan kebebasan dan telah berjuang bagi menyediakannya untuk generasi seterusnya. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan tradisi ini walaupun terhalang oleh pihak-pihak tertentu. Pilihan adalah di tangan kita.

 

Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia