Pembangunan pesat dalam sektor perumahan, pertanian, industri, pelancongan, pembuatan dan kemajuan bandar tidak mungkin terjadi sekiranya tiada sumber air yang mencukupi.

Walaupun Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak, namun akhir-akhir ini kerap kali Malaysia mengalami tekanan dalam mendapatkan bekalan air yang mencukupi disebabkan oleh ketidakseimbangan permintaan air di sesetengah lokasi dan juga  perubahan corak cuaca yang mempengaruhi suhu.

Bercakap mengenai pengurusan permintaan air, ia bukanlah sesuatu yang baru. Terlalu banyak seminar dan persidangan yang telah membincangkan mengenai perkara ini. Pembangunan dan peningkatan bilangan penduduk yang pesat secara langsung memberi kesan kepada permintaan bekalan air bagi sektor domestik, industri dan juga pertanian. Ia dapat dilihat dengan meningkatnya penggunaan air bagi sektor domestik sebanyak 3% dan komersial sebanyak 5% dari tahun 2011 ke tahun 2012 dan tidak mustahil ia akan semakin meningkat tahun demi tahun.

Selain dari bergantung terus kepada sumber air terawat, pelbagai alternatif lain seperti

penggunaan air hujan dan air sisa terawat dapat digunapakai bagi mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat lebih-lebih lagi bagi aktiviti yang tidak melibatkan pemakanan dan minuman. Air sisa dapat menyumbang kira-kira 4,000 MLD air di Malaysia dan Malaysia juga menerima purata hujan tahunan sebanyak 37.9 ribu mm (bacaan 6 bulan pertama 2013). Jika dilihat dalam senarai 40 negara yang mengguna semula air sisa terawat, US adalah negara yang menggunakan semula air sisa terawat terbanyak, iaitu 7,600,000 m3/d. Singapura pula merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang tersenarai dengan menggunakan sebanyak 75,000m3/d.

Air hujan dan air sisa terawat boleh digunakan dalam aktiviti pertanian seperti pengairan tanaman bukan makanan, contohnya pokok-pokok bunga. Ia dapat menjimatkan kos, di samping membekalkan nutrien yang tinggi. Selain itu, ia juga boleh diguna pakai untuk kegunaan perbandaran seperti mencuci trak atau mencuci jalan-jalan raya. Bagi sektor industri pula, air hujan dan air sisa terawat boleh digunakan dalam aktiviti penyejukan mesin dan juga untuk cucian.

Terdapat banyak amalan baik yang telah digunakan di Negara-negara lain, antaranya:

India

Dalam usaha mengurangkan permintaan air terawat yang tinggi, peserta yang mengambil bahagian dalam pemasangan sistem penuaian air hujan diberi rebat cukai harta. Pune Municipal Corporation (PMC) telah mengumumkan rebat ke atas cukai harta jika rakyat memasang sistem penuaian air hujan, menggunakan tenaga solar atau mengasingkan sisa pepejal di kediaman mereka. Jika masyarakat mengikuti mana-mana dua daripada tiga amalan tersebut, mereka berhak untuk 10 peratus rebat dan jika mereka mengamalkan mana-mana satu daripada amalan-amalan ini, mereka akan mendapat lima peratus rebat. Pada tahun 2010, PMC hanya menerima 44 permohonan tetapi pada tahun 2013 bilangan ini meningkat kepada 452 permohonan. Selain dari menggunakan air hujan, mereka juga mengitarsemula air di kediaman dan kira-kira 20,000 liter air sisa telah berjaya dikitar semula.

Singapura

Air sememangnya merupakan aset sangat mendesak di Singapura memandangkan sumber air adalah sangat terhad di negara ini. Keadaan cuaca yang luar biasa sememangnya memberi tekanan kepada bekalan air. Namun begitu, Singapura telah menukar permasalahan itu kepada aset yang berharga dengan menguruskan kitaran air secara keseluruhannya seperti pengumpulan air hujan, rawatan air sisa dan mengubahnya kepada NEWater. Selain dari NEWater, Singapura bergantung kepada 3 lagi  sumber air iaitu melalui kaedah penyahgaraman, air tadahan dan air yang diimport. Bagi menjamin bekalan yang berterusan, Singapura juga menguruskan dari segi permintaan. PUB mempunyai pelan luas dalam pemuliharaan air yang menggalakkan masyarakat untuk menggunakan air dengan bijak. Penggunaan air sektor domestik perkapita di Singapura telah menurun dari 165 liter sehari pada tahun 2003 kepada semasa 151 liter. Sasaran adalah untuk mengurangkan ia kepada 147 liter pada tahun 2020 dan 140 liter pada tahun 2030.

United Kingdom

Agensi Alam Sekitar di United Kingdom mengiktiraf perniagaan atau organisasi yang berusaha keras dalam menjalankan penjimatan air malalui anugerah tahunan mereka. UK Water Efficiency Award diberikan kepada syarikat berskala besar dan juga perniagaan kecil dan sederehana yang berjaya menggurangkan penggunaan air sehingga 80%. Ini dapat menunjukkan bagaimana organisasi syarikat-syarikat ini dapat menyumbang kepada kedua-dua pertumbuhan ekonhomi dan masyarakat yang mampan dan dalam masa yang sama melindungi alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon. Syarikat-syarikat ini diberi penghargaan yang tinggi kerana memberikan contoh baik dan inspirasi kepada masyarakat dalam menambahbaik pengurusan air.

Selain itu, pemenang bagi kategori pembinaan alam sekitar adalah Essex & Suffolk Water. Syarikat ini dengan kerjasama persatuan perumahan menyediakan tukang paip percuma bagi memasang peralatan jimat air di kediaman pengguna. Sebanyak 14,999 alat penjimatan air telah dipasang dan telah berjaya menjimatkan dengan purata 22 liter sehari bagi sesebuah kediaman.

Anglian Water pula telah memenangi anugerah inovasi. Anglian Water memperkenalkan sistem yang menyediakan pelbagai maklumat mengenai penggunaan air, penggera kebocoran dan pengiraan belanjawan air yang boleh dipantau oleh seluruh keluarga. 11,300 pelanggan telah memasang sistem ini dan menjimatkan 9 liter air setiap kediaman setiap hari dan menurunkan keseluruhan permintaan air sebanyak 4%. Sistem ini telah disebarkan secara meluas di seluruh UK dan juga Eropah.

Penutup

Penuaian air hujan harus diperluaskan ke bangunan-bangunan pejabat, kompleks membeli belah, pusat mencuci kereta. Namun ia perlulah mudah untuk dipantau dan diselenggara agar tidak mendatangkan masalah lain seperti pembiakan nyamuk dan lain-lain penyebab penyakit. Penuaian air hujan berpotensi dalam mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat dan merupakan salah satu inisiatif yang dapat digunakan sebagai persediaan musim panas dan kering yang berpanjangan.

Di Malaysia, terdapat juga pihak-pihak berkuasa yang telah mula memandang ke arah penggunaan air secara hijau dan mampan. Antaranya didalam Pelan Tindakan Kejiranan Hijau yang telah diwartakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewajibkan pemasangan sistem penuaian air hujan di bangunan-bangunan kerajaan, PBT dan bangunan individu sebagai satu langkah pengurusan air yang berkesan.  Selain itu, keperluan memasukkan sistem penuaian air hujan ini dalam pembangunan perumahan baru dan setiap pemohonan pelan pembangunan rumah sebuah, berkembar dan semua jenis bangunan berasingan yang mempunyai yang kawasan berbumbung yang melebihi 100m2.

Pemaju-pemaju perumahan juga diharap dapat mempertimbangkan penggunaan peralatan penjimatan air dalam projek-projek perumahan atau pejabat yang baru. Ia bukan sahaja dapat mengurangkan permintaan air mentah yang semakin kritikal, malah ia juga dapat menggalakan kehidupan yang lebih hijau dan membantu pengguna mengurangkan kos bil air dengan pengurangan penggunaan air.

Sudah tiba masanya untuk kita berubah kepada kehidupan yang lebih hijau demi menjamin bekalan air yang mencukupi untuk masa akan datang kerana kita boleh hidup tanpa makanan selama beberapa minggu, tetapi kita tidak boleh hidup lebih daripada beberapa hari tanpa air. Air sangat berharga untuk dibazirkan begitu sahaja.