Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan inovasi teknologi hijau mampan dengan mentransformasikan sisa pertanian atau biomas kepada arang hijau (bio-arang) melalui sistem microwave yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai industri dalam usaha mengurangkan pencemaran gas rumah hijau (GHG) serta kebergantungan kepada sumber kurang mampan.


Berbanding proses konvensional terdahulu, inovasi Biomass Microwave Carobanizer (BMC) yang diterajui oleh Prof. Dr. Azni Idris dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan menawarkan kaedah pengeluaran bio-arang berteknologi bersih menggunakan kaedah pirolisis (pembakaran tanpa oksigen) dengan bantuan teknologi microwave melalui proses pembakaran lima kali lebih cepat serta 63% penjimatan tenaga di samping kadar pengurangan 70% pelepasan karbon.

 


Menurutnya, proses pembuatan bio-arang secara konvensional melibatkan proses panjang dan pelepasan asap yang banyak. Melalui teknologi BMC, pemprosesan bio-arang menjadi lebih hijau serta mampu menggandakan penghasilan produk dalam tempoh satu jam dengan kualiti lebih baik.

 


“Dalam kaedah pirolisis menggunakan teknologi BMC, proses pembakaran berlaku dalam kebuk pembakaran yang seimbang di bawah suhu haba rendah (250-300°C), dengan panel automatik yang boleh dikawal dan dilaras bagi mengoptimumkan suhu untuk mencapai nisbah tertinggi penghasilan bio-arang iaitu setinggi 50%. Produk bio-arang akan terhasil selepas satu jam pembakaran”.


Tambah beliau lagi, teknologi BMC memberikan prestasi terbaik berbanding dua kaedah alternatif sedia ada iaitu pembakaran terbuka dan pirolisis konvensional selain mengeluarkan hasil lebih bermutu dari segi kawalan proses, masa pemanasan dengan nisbah 30% lebih cekap serta 90% lebih hijau semasa proses pembakaran dijalankan.


Antara sasaran pengguna bagi produk bio-arang adalah sektor yang menggunakan bahan bakar sebagai sumber tenaga merangkumi penggunaan sistem boiler di pelbagai kilang, sektor F&B seperti katering, restoran dan hotel serta peruncitan bagi kegunaan barbeku, manakala sasaran bagi teknologi BMC pula adalah industri perladangan seperti sawit, padi, kenaf, buluh dan sisa lanskap. Sebagai contoh, impak terbesar ialah sisa biomas sawit terbuang sebanyak 20 juta tan metrik setahun dijangka berpotensi menambah nilai produk kilang berjumlah 1.4 juta tan bio-arang setiap tahun.


Penyelidikan yang bermula sejak 2012 ini terhasil melalui kolaborasi bersama Pakar Management Technology (M) Sdn Bhd. serta dikomersilkan pada skala industri oleh Pakar Go Green Sdn Bhd. dengan pembiayaan geran dari Platcom Ventures Sdn Bhd. dan Kementerian Pengajian Tinggi.


Sementara itu, harga pasaran bagi teknologi BMC berkapasiti 5kg/jam adalah RM50,000 dan RM1 juta bagi kapasiti penghasilan produk 500kg/jam, manakala harga runcit bagi bio-arang briket adalah sekitar RM3 hingga RM10 sekilogram bergantung kepada jenis sumbernya.


Sumber – Putra Science Park/ http://www.majalahsains.com/inovasi-biomass-microwave-carbonizer-mampu-hasilkan-bio-arang-dari-sisa-pertanian/