KUALA LUMPUR, 14 FEB 2013: Institut Pembangunan Profesional, Universiti Terbuka Malaysia (IPD-OUM) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) untuk menawarkan program Diploma Profesional dalam Pengajian Pengguna dan Pengurusan.
Presiden/Naib Canselor OUM, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali menandatangani Memorandum Persetujuan bagi pihak IPD-OUM, manakala FOMCA diwakili oleh presidennya, Datuk Dr. Marimuthu Nadason.
Majlis menandatangani MoA tersebut disaksikan oleh Dato’ Basaruddin Sadali, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Encik Bjarne Pederson, Pengarah Global, Pembangunan Perkongsian dan Organisasi, Consumers International.
Program Diploma ini, yang meliputi 10 modul termasuk kertas projek, disasarkan kepada eksekutif yang bekerja di organisasi yang berurusan dengan pengguna atau aduan pengguna. Ia bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan mereka dalam mengendalikan khidmat pelanggan dan aduan pelanggan.
Program ini akan mendedahkan kepada para pelajar tentang pelbagai aspek gelagat pengguna, perundangan dan dasar yang berkaitan dengan perlindungan dan kebajikan pengguna, di samping mendalami strategi organisasi bagi komunikasi yang berkesan.
Selain itu, program ini juga menyediakan maklum balas pengguna tentang pelbagai industri berdasarkan kepada laporan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), yang membolehkan pengurusan organisasi mengkaji semula strategi dan proses dalam pengurusan khidmat pelanggan.
Datuk Marimuthu dalam ucapannya, menyatakan harapan FOMCA agar program diploma ini menjadi inisiatif kepada sektor swasta untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka yang terlibat dalam bidang kepenggunaan dan pengurusan pengguna.
Dalam pada itu, Tan Sri Anuwar pula menegaskan bahawa program diploma profesional yang dijalankan dengan kerjasama FOMCA ini merupakan salah satu usaha untuk melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi Malaysia 2011-2020.
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)