KUALA LUMPUR 20 FEB. - INDEKS Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Januari dijangka turun buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun didorong oleh penurunan harga minyak domestik, menurut laporan The Edge Market yang memetik tinjauan Reuters.Menurut 13 pakar ekonomi yang ditinjau, IHP Januari diunjurkan turun 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus yang direkodkan pada November 2009.Bagaimanapun, menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, unjuran itu tidak banyak memberi kesan kepada rakyat Malaysia dari sudut harga barang dan kuasa beli pengguna.
Jelas beliau, jika merujuk kepada data IHP harga barangan makanan dan minuman, ia telah naik melebihi 30 peratus sejak 2010 iaitu dalam tempoh lapan tahun.“Ini bermakna penurunan tersebut adalah minimum berbanding kenaikan harga makanan dan minuman serta bersifat sementara memandangkan harga minyak kini mulai meningkat dan tertinggi sejak empat bulan lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.Tambah Ahmed Razman, paling penting adalah memahami punca sebenar kenapa harga barangan meningkat dan ia bukan disebabkan kesan harga komoditi atau jenis cukai yang dikenakan semata-mata.Katanya, punca utama adalah disebabkan lambakan kredit yang dihasilkan oleh bank komersial melalui pemberian pinjaman kepada syarikat mahupun individu.“Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan adalah memupuk sikap untuk tidak berhutang dalam kalangan rakyat. Selain itu, lambakan kredit juga boleh dikawal dengan mengambil alih fungsi pemberian pinjaman,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, unjuran penurunan IHP dibantu oleh penurunan kos pengangkutan.“Penjimatan kos pengangkutan disebabkan harga minyak turun dan keadaan ini memberi pengguna lebih kuasa beli. Namun, hakikatnya harga barang memang sukar untuk turun,” katanya.Keputusan kerajaan untuk menetapkan harga runcit petroleum secara mingguan mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM) sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia telah membantu meringankan beban pengguna kenderaan.Kuasa beli pengguna juga meningkat sedikit selepas kerajaan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 Jun 2018. Inflasi tahunan pada November dan Disember tahun lalu berada pada paras 0.2 peratus, sama seperti kadar pada Ogos.Bank Negara Malaysia pada minggu lalu menyatakan bahawa Malaysia tidak berisiko untuk mengalami tekanan deflasi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/ihp-turun-dalam-tempoh-10-tahun-1.845237#ixzz5g8EX1Dkx
© Utusan Melayu (M) Bhd