Malaysia merupakan negara membangun telah berkembang dengan pesat. Namun begitu, kepesatan tersebut tidak seiring dengan sikap para pengguna terhadap alam sekitar. Sedangkan salah satu hak pengguna ialah hak untuk mendapat persekitaran yang sihat.

Siapa yang sepatutnya bertanggunjawab untuk menyediakan persekitaran yang sihat kepada kita? Sebagai pengguna, kita perlu mempraktikkan penggunaan lestari untuk mendapatkan persekitaran yang bersih dan selamat.

Apakah yang dimaksudkan dengan penggunaan lestari?  Penggunaan lestari ialah penggunaan perkhidmatan atau produk bagi memenuhi keperluan asas dan membolehkan kita menjalani kualiti hidup yang baik. Dalam masa yang sama dapat mengurangkan penggunaan sumber asli serta bahan-bahan toksik dan pelepasan sisa serta bahan-bahan pencemar sepanjang kitar hayat supaya tidak menjejaskan keperluan masa depan generasi akan datang – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. 

Produk dan perkhidmatan pengguna boleh memberikan kesan kepada alam sekitar sama ada sebelum atau selepas kita membeli dan menggunakannya. Merancang pembelian dan mengubah corak penggunaan akan membantu untuk memelihara alam sekitar.  Jika kita membuat keputusan untuk menghentikan penggunaan plastik, salah satu masalah besar di tapak pelupusan sampah dapat diatasi. Tetapi ini sukar untuk dilakukan kerana ketiadaan bahan ganti dalam pasaran ataupun perubahan tabiat pengguna.

Oleh itu, kita memerlukan satu mekanisme, iaitu Mekanisme CIG. Perkongsian antara Pengguna (C) – Industri (I) – Kerajaan (G) adalah mekanisme yang sangat penting. 

Kerajaan memainkan peranannya dalam melaksanakan undang-undang dan memberi pendidikan secara berterusan. Perlaksanaan undang-undang dan pendidikan yang berkesan ini dapat mewujudkan kesedaran dan etika dalam kalangan industri dan pengguna. Sektor industri pula perlu mengambil tanggungjawab dengan memastikan prosedur-prosedur dan peraturan-peraturan dipatuhi untuk memastikan produk-produk atau perkhidmatan-perkidmatan bersifat mesra alam. Pengguna juga dapat manfaat daripada tindakan oleh kerajaan dan industri. Ini merupakan perkongsian bijak.

Pada masa akan datang, isu-isu berkaitan alam sekitar merupakan cabaran penting untuk ditempuhi. Bagaimana kita sebagai pengguna dapat mengatasi cabaran ini? Sebenarnya kita boleh memainkan peranan bagi menyelamatkan bumi dengan melakukan perkara-perkara berikut:

•    Bawa beg sendiri apabila membeli-belah.  Beg plastik tidak mesra alam dan tidak boleh terbiodegradasi.
•    Menunggang basikal atau berjalan kaki apabila pergi ke sesuatu tempat atau kedai yang berdekatan. Ini merupakan amalan 100% mesra alam dan menyihatkan tubuh badan.
•    Tutup televisyen, stereo dan komputer apabila tidak digunakan kerana peralatan ini menggunakan di antara 10% hingga 60% sumber tenaga.  Ini boleh menyumbang kepada pemanasan global.
•    Membawa bekalan ke tempat kerja atau sekolah. Makanan ini lebih menyihatkan dan menjimatkan.
•    Kumpulkan kertas yang digunakan di rumah dan bawa ke pusat kitar semula. Mengitar semula produk berasaskan kayu dapat menyelamatkan berjuta-juta pokok setahun.
•    Hentikan penggunaan racun makhluk perosak. Tanam tumbuh-tumbuhan tertentu di kebun anda, seperti pudina dan selasih yang boleh menghalau serangga perosak.
•    Gunakan lampu jenis kalimantang. Lampu jenis ini menggunakan ¼ tenaga elektrik dan empat kali lebih tahan lama berbanding mentol lampu biasa.
•    Sebelum membuka peti sejuk, tentukan terlebih dahulu barang yang ingin diambil. Membuka peti sejuk dengan kerap boleh merugikan tenaga elektrik dan menyebabkan bil elektrik meningkat.
•    Elakkan daripada menggunakan bahan berasaskan stirofom. Bahan ini tidak boleh terbiodegradasi dan boleh merosakkan lapisan ozon.
•    Jadilah sukarelawan projek penghijauan di kawasan anda. Adakan atau sertai program alam sekitar di tempat anda.
•    Kongsi maklumat dan panduan yang dipelajari tentang penggunaan lestari dengan keluarga dan rakan-rakan.
•    Anda boleh mendinginkan ruangan dalam rumah dengan mudah. Gunakan pembidai atau langsir berwarna putih bagi mengurangkan pemanasan. Penggunaan pendingin hawa boleh menyumbang kepada pemanasan global.
•    Beli tanaman keluaran tempatan. Ia bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga dapat menampung kehidupan petani tempatan.
•    Kurangkan pembuangan sampah. Jangan gunakan produk pakai buang seperti pinggan kertas, cawan plastik atau kertas tisu.
•    Menjimatkan penggunaan air turut menjimatkan tenaga elektrik;kerana proses membekalkan air dan menyaring sisa kumbahan menggunakan tenaga elektrik yang banyak.
•    Gunakan kaedah penanaman secara semula jadi di kebun.  Penggunaan baja kompos organik dapat menyuburkan tanah untuk bercucuk tanam.
 

Mengapa penggunaan lestari sangat penting? Mengapa kita perlu bersikap prihatin kepada isu alam sekitar? Hakikatnya, kita hanya mempunyai dunia ini sahaja untuk hidup. Kita perlu memeliharanya untuk kehidupan generasi akan datang. Mulakan hidup yang hijau pada tahun baru ini. Mengubah tabiat memanglah sukar, tetapi ingatlah masa depan anak-anak kita. Perlindungan terbaik adalah perlindungan diri sendiri. 

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)