Ketika masih kecil, saya seringkali berkunjung ke Cameron Highlands. Bergerak dari Taiping ke Cameron Highlands sesuatu yang menyeronokkan. Selain panorama, cuaca yang sejuk sesungguhnya menenangkan jiwa. Malangnya, pada hari ini, persekitarannya sungguh berlainan. la jauh berbeza sebab landskapnya sudah diganggu teruk.

Saya tidak pasti adakah ramai daripada kita masih berminat untuk ke pusat peranginan dan pertanian ini kecuali ada perkara yang mustahak untuk diuruskan. Saya yakin kebanyakan pengunjung tidak akan kembali selepas membuat kunjungan kali pertama. Saya tidak bermaksud memberi tanggapan negatif terhadap pusat peranginan ini. Saya masih sayang kepada Cameron Highlands.

 

Hakikatnya, ini adalah pandangan ramai. Kita perlu menerima realiti. Saya berharap tanggapan ini dapat dibetulkan dengan memulihkan Cameron Highlands dengan kadar segera. Semua sudah maklum mengenai nasib Cameron Highlands pada hari ini. Saya melihat isu Cameron Highlands dari sudut keperluan memastikan bekalan sayur-sayuran bagi pengguna atau orang ramai khususnya rakyat Malaysia dan keperluan mempertahankan integriti kawasan tinggi ini.

Cameron Highlands sudah tidak sesejuk dua tiga dekad yang lalu. Saya tidak fikir kita akan menikmati suasana yang sama lagi selepas ini. Mustahil! Tetapi di sebalik isu yang kita berhadapan ini, masih ada ruang untuk menyelamatkan Cameron Highlands. Kita boleh lega kerana masih ada harapan untuk membetulkan masalah yang semakin kronik.

Oleh itu, saya melihat Ops Sejuk yang diadakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini yang berakhir dengan penangkapan 22 tauke kebun sayur termasuk warganegara Bangladesh, sebagai perkembangan mengejutkan kita.

Pertama, perlakuan rasuah masih berterusan. Nampaknya, ada pihak yang memberi dan pihak yang menerima suapan. Kedua, penerokaan kawasan pertanian haram yang sepatutnya sudah berakhir beberapa bulan lalu masih wujud dan berterusan. Ketiga, kewujudan pekerja asing tanpa izin yang terus membimbangkan kita. Tindakan proaktif yang diambil oleh SPRM perlu dipertingkatkan.

Agensi penguatkuasa perlu menghantar mesej yang jelas lagi tegas bahawa isu yang masih segar di Cameron Highlands akan diperangi habis-habisan. Jangan kompromi dengan isu rasuah dan apa jua perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang. Jika tidak kita akan gagal dalam usaha memulih dan menyelamatkan Cameron Highlands.

Perlu Usaha Holistik Semua Pihak

Tindakan SPRM sejak enam bulan lalu juga menunjukkan bahawa usaha memerangi perlakuan rasuah memerlukan usaha holistik semua pihak. Susulan tragedi akhir tahun lalu, beberapa pihak pernah mempersoalkan apa yang telah dilakukan oleh SPRM di Cameron Highlands. Ada yang memberi tanggapan bahawa SPRM tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengatasi rasuah di pusat peranginan dan pertanian itu. Tangkapan 22 tauke pekebun sayur menunjukkan SPRM melakukan tugas mereka dengan baik dalam membanteras. Kini, Majlis Keselamatan Negara sedang menjalankan Ops Gading. Justeru, operasi bersepadu kedua-dua agensi ini diharap akan menyumbang kepada pencegahan jenayah rasuah dalam jangka panjang. Usaha menyelamat Cameron Highlands memerlukan usaha bersepadu membabitkan pelbagai pihak. la tidak boleh hanya diserahkan kepada SPRM atau Majlis Keselamatan Negara.

Tragedi banjir lumpur tahun 2013 dan 2014 juga masih segar dalam ingatan kebanyakan pihak yang mencintai Cameron Highlands. Khusus selepas tragedi tahun lalu, isu mengenai nasib Cameron Highlands terus menjadi percakapan kebanyakan pihak yang berada di Cameron Highlands dan sering kali berkunjung ke sana.

Saya melihat bahawa isu Cameron Hiehlands bukan hanya penerokaan kawasan haram untuk pertanian. Sebaliknya, lebih daripada itu. Ini termasuklah pembangunan dan penggunaan bahan yang tidak dibenarkan untuk tuiuan pertanian.

Juga diharap agar syor dikemukakan oleh SPRM pada pertengahan tahun lalu untuk memulihkan Cameron Highlands akan dilaksanakan dengan segera dan menyeluruh membabitkan semua pihak.

Pendek kata, saya berharap pemeriksaan polis di Cameron Highlands akan berakhir dalam waktu terdekat. Bermakna kawasan itu bebas daripada pekerja asing tanpa izin dan penerokaan haram. Cameron Highlands perlu kembali ke kedudukan asal. Bila? Kita tidak boleh pastikan. Tetapi kita boleh lakukan. Usaha menanam pokok satu usaha ke arah itu.

Kesan Jangka Panjang

Pendekatan ini akan membawa kesan jangka panjang. Seperti saya sebutkan pada peringkat awal karya ini, kita perlu mengimbangi antara keperluan hidup dan budaya berintegriti. Kita juga perlu menerima hakikat bahawa tidak salah membangunkan tanah untuk tujuan pertanian, tetapi melakukan secara haram dan menghulurkan rasuah, tidak boleh dibenarkan. Jangan berkompromi.

Budaya berintegriti yang padu yang boleh membantu menyelamat dan memulihkan Cameron Highlands. Setiap tindakan yang diambil perlu ada elemen integriti. Integriti dalam kalangan agensi mengurus Cameron Highlands, agensi penguat kuasa, pekebun sayur, peniaga, orang ramai dan sudah pasti penduduk Cameron Highlands.

Difahamkan SPRM juga sedang mengusahakan beberapa langkah bagi meningkatkan amalan berintegriti dalam kalangan 'stakeholder' Cameron Highlands. Diharap ia akan membuahkan hasil, sekali gus 'menyegarkan' semula Cameron Highlands. Jika Cameron Highlands memerlukan satu undang-undang yang khusus, yang boleh menyelamatkan Cameron Highlands, guballah dengan segera.

 

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA

Sumber : Berita Harian – Rencana – (Khamis, 23 Julai 2015)