Ramli (bukan nama sebenar) mempunyai peluang untuk memiliki telefon bimbit yang diidamkan apabila sebuah laman sesawang menjualnya dengan harga yang lebih murah daripada pasaran biasa.
Ramli hanya diberikan jaminan lisan produk akan sampai di tangan nya dalam tempoh masa tertentu apabila menghubungi nombor telefon penjual.
Puas dengan penjelasan dan janji yang diberikan, Ramli mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun penjual. Namun, urusniaga ini tidak tercapai, apabila Ramli tidak mendapat telefon bimbit dalam masa yang ditetapkan. Semua usaha untuk menghubungi penjual berkenaan gagal.
Persoalannya, di manakah silap Ramli? Penggunaan perkhidmatan 3G, broadband dan hotspot yang kian meningkat membuka laluan kepada sektor perdagangan elektronik untuk berkembang di Malaysia.
Pertumbuhan ini juga didorong oleh pengguna yang tertarik dengan kelebihan membuat pembelian melalui internet. Antaranya :
• Pengguna mempunyai peluang untuk mendapatkan harga produk dan perkhidmatan lebih murah.
• Pembelian menjimatkan masa kerana boleh dilakukan dimana-mana dan pada bila-bila masa.
• Pengguna juga dapat membandingkan harga produk dan perkhidmatan dengan lebih mudah berbanding pembelian secara konvensional di pusat peruncit.
Namun begitu, ada beberapa kekangan yang perlu diambil perhatian oleh pengguna dalam membuat pembelian atas talian.
Yang pertama, pembelian sebegini tidak membenarkan anda untuk mengalami sendiri produk berkenaan sebelum pembayaran dibuat.
Terdapat risiko kemungkinan pengguna menerima produk atau perkhidmatan yang berbeza dengan apa yang diuar-uarkan ketika pembelian.
Produk yang tidak mencapai standard kualiti dan keselamatan boleh menggugat keselamatan pengguna ketika menggunakan produk atau perkhidmatan itu.
Pengguna Malaysia boleh memanfaatkan penggunaan e-dagang dan mengurangkan risiko sekiranya mereka mengambil langkah berjaga-jaga apabila meninjau dan membeli produk dan perkhidmatan.
Apa yang boleh anda lakukan?
1. Tinjau dan belilah dari laman yang boleh dipercayai.
Lakukan pemeriksaan latar belakang mudah di internet mengenai syarikat atau laman web yang anda ingin beli barang berkenaan. Lihat ulasan dan komen media sosial yang sahih. Bertanyakan keluarga dan rakan anda. Ia menyediakan input cepat dalam memilih platform yang betul dan boleh dipercayai. Tambahan lagi, pengguna digalakkan untuk membuat perbandingan harga produk dan perkhidmatan yang dibeli antara platform yang wujud di Malaysia.
Pengguna juga boleh melayari komen, ulasan yang diberikan mengenai produk yang ingin dibeli dalam laman web lain atau platform yang sama. Pastikan anda mempunyai maklumat yang cukup dan yakin sebelum melakukan pembelian.
2. Semak terma dan syarat
Satu langkah penting bagi setiap pembeli di luar sana. Semak polisi untuk mengembalikan pembelian, terma dan syarat, bayaran balik. Tinjauan dan pemahaman mengenai perkara ini akan memberi anda input mengenai apa yang boleh anda jangkakan sepanjang pengalaman membeli-belah atas talian dan apa yang boleh anda lakukan sekiranya produk atau perkhidmatan yang anda terima tidak memuaskan dan tidak seperti yang diiklankan.
3. Alami sendiri pengalaman membeli-belah atas talian.
Sekiranya anda adalah pembeli kali pertama, pengguna dicadangkan untuk cuba membeli produk atau perkhidmatan atas talian. Pengguna dinasihati untuk tidak membeli produk dan perkhidmatan yang sangat mahal atau sangat penting untuk kali pertama. Latihan ini akan membantu pengguna memahami bagaimana pembelian atas talian boleh memanfaatkan mereka. Gunakan kenyataan di bawah untuk menilai lagi kehendak pembelian anda :
• Adakah anda telah mendapat apa yang anda beli? (contohnya : barang tambahan yang datang bersama-sama, fungsi produk yang diuar-uarkan).
• Adakah tempoh penghantaran boleh diterima seperti yang ditulis di dalam laman web?
• Bagaimanakah pengalaman anda dengan produk atau perkhidmatan? (Contoh : Produk ini tidak boleh digunakan, retak kecil, masalah menebus baucar atau tiket?)
• Adakah anda berpuas hati dengan keseluruhan pengalaman pembelian anda? Jangan membeli sesuatu produk dan yang tidak anda perlukan.
4. Lindungi maklumat peribadi dan kewangan anda! (Perkara ini sangat penting). Ambil langkah perlu dalam memastikan pembelian atas talian selamat.
• Ketahui apa dan bagaimana maklumat mengenai anda sedang digunakan. Elakkan memberi terlalu banyak maklumat peribadi.
• Berwaspada dengan tawaran yang boleh dipersoalkan dan jualan yang mencurigakan. Elakkan membeli melainkan jika anda betul-betul pasti akan kesahihannya.
• Pastikan transaksi atas talian / pembelian anda selamat. Ini termasuk menaik taraf PC dan komputer riba ciri-ciri keselamatan anda. Anda juga boleh mencari lebih banyak tips keselamatan secara teknikal daripada sumber-sumber internet yang dipercayai.
5. Mohon dan Simpan Bukti Pembelian
Setelah pembelian selesai, semak penyata akaun anda untuk memastikan transaksi yang betul berlaku. Tangani perkara ini dengan secepat mungkin, sekiranya perkara sebaliknya berlaku. Simpan rekod pembelian atas talian anda, termasuk butiran produk dan pembayaran yang akan membantu sebagai sumber rujukan pada masa hadapan.
6. Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sedia membantu anda
Sekiranya pengguna berhadapan masalah yang berkaitan proses pembelian (pembayaran, fakta tidak tepat), produk dan perkhidmatan yang dibeli atas talian, pengguna boleh merujuk kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). NCCC bertujuan menjadi pusat aduan setempat bagi membantu pengguna menyelesaikan masalah dan aduan berkenaan. NCCC turut bertindak sebagai pengantara mempertemukan pengguna dan peniaga untuk menyelesaikan pertikaian. Dengan trend peningkatan pengguna yang menggunakan e-dagang untuk membeli-belah, pengguna perlu peka dan bijak dalam melakukan pembelian atas talian supaya kelebihannya dapat dinikmati.
Penulis : Prof. Datuk Dr Marimuthu Nadason
Sumber : Berita Harian – Rencana – (19 Ogos 2015, Rabu)