Jerebu telah menjadi salah satu ‘musim’ di negara kita semenjak tahun 1982. Keadaan ini berlaku saban tahun disebabkan pembakaran hutan secara besar-besaran di negara jiran kita. Pembakaran kawasan gambut yang berterusan telah membebaskan asap, habuk dan partikel kering yang  berbahaya kepada semua rakyat di Indonesia. Begitu juga kesan yang sama telah dialami di Malaysia dan Singapura.

Masalah jerebu ini telah wujud lebih kurang 33 tahun di rantau Asia Tenggara. Namun usaha yang diambil untuk mengatasi masalah ini agak perlahan. Begitu juga usaha di peringkat negara juga perlu dipertingkatkan lagi. Akibat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi menyebabkan banyak aktiviti luar terpaksa dihentikan bagi mengutamakan kesihatan rakyat. Hal ini termasuk larian Standards Charted KL Marathon iaitu suatu acara larian antarabangsa dengan 35 ribu peserta terpaksa dibatalkan kerana keadaan jerebu semakin buruk dan bacaan IPU telah mencecah tahap sangat tidak sihat. Keadaan ini secara langsung menyebabkan kerugian dari segi ekonomi pelancongan di negara kita.

 

 

Pertikaian Bacaan IPU

Pertikaian mulai timbul apabila bacaan IPU di Malaysia berbeza dengan Indeks Pencemaran Standard (IPS) di Singapura. Bacaan IPU di bahagian selatan Johor berbeza dengan bahagian utara Singapura. Penduduk berasa tidak aman dan kekeliruan dengan perbezaan bacaan tersebut, yang jaraknya berdekatan. Penggunaan unit bacaan yang seragam dan tepat dalam menganalisis  ‘zarah halus (fine partical)’ PM2.5, adalah perlu ditunjukkan bersama-sama dengan bacaan pencemaran udara supaya orang ramai dapat mengambil langkah pencegahan, terutama bagi pesakit yang bermasalah dari segi penafasan.

Di samping itu, usaha kerajaan mengemas kini bacaan IPU mengikut jam berbanding dengan empat jam pada tahun 2013 adalah amat dialu-alukan. Usaha ini boleh dikembangkan lagi dari segi penyampaian maklumat ini kepada orang awam, seperti contoh memaparkan bacaan tersebut melalui skrin televisyen dan sentiasa dikemas kini mengikut jam. Cara ini dapat menyampaikan bacaan terkini kepada warga yang tidak mahir dengan penggunaan laman sesawang atau telefon pintar untuk mendapatkan maklumat berkenaan, terutama warga tua yang merupakan golongan berisiko tinggi.

Pada tahun ini Malaysia menjadi pengerusi ASEAN. Untuk makluman, ASEAN sebenarnya telah lama berbincang mengenai persoalan krisis pencemaran jerebu merentasi sempadan pada tahun 1990. Menerusi usaha itu, ASEAN menghasilkan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ATHP) dan digubal pada tahun 2002. Semua negara ASEAN menandatangani perjanjian itu pada tahun itu kecuali Indonesia.

Selepas 12 tahun, Indonesia akhirnya menandatangani perjanjian tersebut pada September 2015. Ini adalah langkah yang besar untuk menangani masalah jerebu ini. Dengan adanya perjanjian ini, negara ASEAN dapat bekerjasama memberikan maklumat berkaitan kepada negara serantau yang terjejas akibat pencemaran tersebut.

 

Ambil Tindakan Tegas

Selain itu, ia juga merupakan pengiktirafan kedaulatan negara untuk memanfaatkan sumber dalam negara masing-masing berdasarkan dasar yang diguna pakai di negara berkenaan. Pada masa sama, untuk memastikan ia tidak membawa mudarat kepada alam sekitar di negara lain.  Pelaksanaan perjanjian ini bermaksud mana-mana negara ASEAN yang menyebabkan pencemaran merentas sempadan akan dikenakan tindakan mengikut dasar negara masing-masing.

Mungkin negara kita boleh mencontohi Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan 2014 yang terdapat di Singapura sejak 1 Disember 2014. Akta ini telah menyatakan bahawa sesebuah syarikat atau individu yang berasal dari Singapura akan dikenakan tindakan jika menyebabkan pencemaran merentas sempadan walaupun syarikat tersebut beroperasi di luar Singapura.  Malaysia juga perlu menggubal akta seperti ini, yang membolehkan tindakan yang tegas perlu dikenakan kepada mana-mana pihak atau syarikat yang menyebabkan masalah jerebu berlaku.

Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka kepada talian alam sekitar pada 1-800-88-2727 terutamanya pada musim kering.

Bak kata pepatah, `Sediakan payung sebelum hujan’, `Jangan sudah terhantuk baru tengadah’. Krisis pencemaran merentas sempadan ini akan berulang lagi pada masa akan datang, tiada tindakan konkrit dalam mengatasinya. Kerusi Pengerusi ASEAN yang disandang oleh Malaysia pada tahun ini sepatutnya diambil kesempatan untuk menyelesaikan masalah pencemaran merentas sempadan ini dengan negara ASEAN yang lain.

Pelaksanaan Perjanjian Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan amat diperlukan dengan segera untuk mencegah ‘musim jerebu’ berlaku lagi pada masa akan datang.

 

Sumber : Berita Harian - Rencana - (20 Oktober 2015, Selasa)