Pada 8 Januari 2016, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau telah membuat kenyataan media bahawa cuaca panas dijangka sehingga Mac 2016. Menurut kenyataan media tersebut, Perlis dan Kedah sedang mengalami cuaca panas dan kering, dengan suhu antara 33°C hingga 36°C, di mana akan turut dirasai seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Kejadian ini dikaitkan dengan fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2016. El Nino adalah kejadian kemarau yang berpanjangan di sebabkan pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh yang lama di timur Lautan Pasifik.
Jumlah hujan dijangkakan akan berkurangan antara 20% hingga 60% dan suhu sekitar akan meningkat sebanyak 0.5°C hingga 2.0°C berbanding kebiasaan disebabkan fenomena El Nino kuat ini. Akibat daripada suhu yang tinggi, ia juga boleh mengakibatkan kes denggi meningkat selain air di empangan berkurang dan turun ke paras yang minimum. Ini juga mungkin mengakibatkan sebahagian kawasan tidak mendapat bekalan air seperti senario catuan air pada tahun yang lalu.
Semua orang tahu bahawa air sangat penting untuk kehidupan sejagat. Air adalah keperluan utama untuk kita walau dimana kita berada. Badan kita sendiri memerlukan sekurang-kurangnya 2 liter air untuk satu hari. Bila tiada air, banyak perkara tergendala terutamanya kerja-kerja rumah dan industri. Bagi kita, musim tengkujuh pada hujung tahun dan awal Januari tidak merisaukan kita kerana percaya empangan sentiasa penuh dengan air. Malah kadang-kadang, paras air melebihi paras maksimum boleh mengakibatkan banjir.
Di Malaysia, disebabkan kadar caj air yang rendah, tiada siapa yang memandang pemuliharaan air sebagai perkara penting. Justeru, ramai yang cenderung untuk melakukan pembaziran air atau tidak mengguna air dengan cermat. Tambahan itu, pemilik kilang dan petani menjadi penyumbang kepada pencemaran air. Pembalakan hutan untuk tujuan pembangunan atau pertanian secara berleluasa memusnahkan kawasan tadahan air turut mencemarkan air.
Seseorang individu hanya memerlukan 50 liter air sehari untuk keperluan asas. Namun demikian, pada tahun 2013, rakyat Malaysia menggunakan 210 liter untuk seorang individu sehari. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk berjimat cermat dalam penggunaan air. Kita kena menghargai air dan berusaha untuk menjimatkan penggunaan air di samping menjimatkan bayaran bil air rumah kita.
• Singkatkan waktu mandi anda daripada kebiasaan sekurang-kurangnya 8 minit atau kurang lebih baik
• Tutup air apabila tidak digunakan dan gunakan pancuran air tekanan rendah terutamanya semasa gosok gigi, cuci muka atau bercukur.
• Gunakan tandas yang mempunyai keupayaan curahan yang rendah atau letakkan sebotol air ke dalam tangki curahan untuk mengurangkan air yang dicurah
• Penggunaan penghawa dingin di rumah bukan sahaja membantu untuk mengurangkan rasa kepanasan, malah boleh menjimatkan air dengan menakung air dari paip penghawa dingin tersebut untuk menyiram tanaman.
• Takung air sebanyak yang mungkin jika hujan dengan memasang sistem penuaian air hujan atau meletakkan baldi di rumah anda. Selepas menakung air, baldi tersebut haruslah ditutup supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
• Perhatikan saluran paip anda. Sekiranya ada berlaku kebocoran paip, baikilah segera. Ini boleh mengelakkan non-revenue water (air tidak terhasil).
Perubahan iklim seperti El Nino ini boleh memudaratkan kesihatan. Orang ramai dinasihatkan untuk menjaga kesihatan masing-masing dan mengurangkan aktiviti luar. Kesan El Nino terhadap bekalan air juga akan mengganggu kehidupan harian kita.
Sungai juga perlu dijaga daripada pencemaran kerana selain daripada empangan, sungai adalah sumber bekalan air dengan sebanyak 13, 753 juta liter sehari diekstrak pada tahun 2013. Walaupun takungan air di Empangan Klang Gates (98.52%), Empangan Semenyih (99.64%) dan Empangan Sungai Selangor (100%) masih dalam peratus memuaskan, namun orang ramai diingatkan untuk menghargai air dengan berjimat cermat dalam penggunaan air jika tidak ingin mengalami sebarang gangguan air dalam cuaca panas ini.
Jika tiada hujan turun lebih daripada 100 hari, air di empangan tersebut akan berada di paras kritikal dan catuan air akan berlaku.
Research & Policy Executive
Forum Air Malaysia
Debbie Injan Anak Andrew Jumat