Musim panas dan kering tiba lagi di negara kita. Tahun ini, ia datang bersama-sama dengan fenomena El Nino yang menyebabkan suhu menjadi panas. Kedua-dua fenomena ini berlaku secara serentak, yang menyebabkan suhu semakin panas dan kering berbanding tahun-tahun sebelum ini.

 

Musim panas yang berlaku di Malaysia semenjak beberapa tahun ini turut menjejaskan bekalan air di negara kita. Berdasarkan pengalaman bertahun-tahun menghadapi masalah ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Malaysia (SPAN) dan beberapa pihak berkuasa negeri telah membuat kenyataan bahawa mereka telah membuat persediaan untuk menghadapi musim panas.

 

Adakah kenyataan ini bermaksud negara tidak akan menghadapi masalah bekalan air? Sebelum ini pun kenyataan yang sama sering kali dikemukakan, namun gangguan bekalan air masih tetap berlaku. Pada 27 Februari 2014 sehingga 30 April 2014, 6.7 juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami catuan air secara berjadual. Catuan air juga berlaku di beberapa negeri pada tahun lalu.

Pada tahun ini, El Nino yang berlaku dikatakan paling panas dalam dekad ini dan dijangka akan berterusan sehingga akhir bulan Mac. Dengan penggunaan air secara purata setiap seorang rakyat Malaysia sebanyak 212 liter setiap hari, air rawatan yang sedia ada sudah tentu tidak mencukupi. Keadaan ini menjadi lebih serius kerana negeri yang kerap menghadapi masalah catuan air, seperti Selangor dan Johor, pengguna di kedua-dua negeri tersebut menggunakan air lebih banyak berbanding negeri yang tidak mengalami kekurangan air, iaitu sebanyak 235 dan 223 liter seorang dalam sehari.

Rakyat Singapura menggunakan 150 liter seorang sehari. Walaupun sumber air mereka terhad, namun mereka tidak mengalami masalah bekalan air. Berbeza dengan Malaysia yang mempunyai jumlah air yang jauh lebih banyak, tetapi terpaksa dicatu semasa krisis air dahulu. Masalah ini sebenarnya mudah dielakkan jika semua pengguna bersama-sama menggunakan air secara berhemat.

Walau bagaimanapun, para pengguna dinasihati supaya tidak menyimpan air secara berlebihan kerana bimbang bekalan air yang akan terputus. Perbuatan ini sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan kekurangan air, yang kemudiannya memaksa pihak berkuasa untuk melaksanakan catuan air.

Oleh itu, semua pengguna digalakkan untuk bersama-sama mengatasi masalah ini dengan menggunakan cara yang lebih baik, iaitu dengan mengurangkan penggunaan air. Penjimatan air sebenarnya tidak susah jika mengikut langkah-langkah yang mudah, seperti mencuci kereta dengan baldi, membasuh pakaian bila mesin basuh penuh ataupun mengehadkan masa mandian.

Penggunaan air paling banyak berlaku di tandas dan bilik mandi. Justeru, penggunaan produk cekap air di tandas dan bilik mandi dapat membantu menjimatkan penggunaan air. Malaysia mempunyai skim label kecekapan air (WEPLS), yang dapat membantu pengguna dalam menentukan berapa jumlah air yang dapat dijimatkan.

Selain itu, pemasangan sistem penuaian air hujan di rumah juga banyak membantu mengurangkan penggunaan air. Walaupun kosnya agak tinggi, tetapi ia sebenarnya boleh digunakan untuk masa yang panjang dan menjimatkan bil air. Satu kelebihan sistem ini ialah ia boleh digunakan semasa musim panas ini.

Pada musim panas ini, negara kita masih lagi dituruni air hujan. Namun begitu, dalam keadaan hujan lebat yang turun, bekalan air masih tergugat. Sebenarnya, air hujan yang lebat itu tidak masuk dalam empangan, sebaliknya sebahagiannya masuk ke dalam sungai, manakala sebahagian yang lain diserapkan dalam tanah. Sekiranya kita memiliki sistem penuaian air hujan, maka kita masih mempunyai satu lagi sumber air untuk tujuan kecemasan.

Kesimpulannya, kita tidak perlu risau tentang kekurangan bekalan air jika kita bekerjasama mengurangkan pembaziran. Cara-cara untuk mengurangkan penggunaan air terlalu banyak, pengguna mesti boleh mencari cara yang sesuai untuk keperluan diri sendiri. El Nino yang dialami pada masa ini hanya akan berakhir pada akhir bulan Mei.

Oleh itu, pengguna masih belum boleh menganggap bahawa musim panas telah berakhir. Usaha-usaha penjimatan air perlu dilakukan ketika musim panas ini, dan perlu diteruskan walaupun musim panas telah berakhir kelak.

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA
Sumber :Berita Harian – Rencana – (Khamis, 25 Februari 2016)