Berdasarkan statistik UN-Water(UN-Water ialah sebuah mekanisme penyelaras antara agensi di bawah Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu tentang isu berkaitan air tawar, termasuk sanitasi), lebih daripada 50 peratus daripada pekerja di dunia, iaitu lebih kurang 1.5 bilion kerja, terbabit dalam sektor berkaitan dengan air dan sanitasi. Namun begitu, mereka yang bekerja dalam sektor ini sering tidak diiktiraf atau dilindungi oleh hak asas pekerja, seperti nelayan, petani dan sebagainya. Melalui tema Hari Air Sedunia ini, ia akan menyediakan platform baik untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai, dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup pekerja sektor air.
Air dan sanitasi memainkan peranan penting bagi setiap kehidupan dan kesihatan. Pada peringkat antarabangsa, setiap jam, dilaporkan 38 pekerja meninggal dunia akibat penyakit berkaitan dengan penyakit bawaan air. Keadaan ini dapat dikurangkan dengan menambah baik kualiti air dan sanitasi dari segi teknologi, pendidikan dan kebersihan diri.
Sektor Pertanian Perlu Penggunaan Air Tinggi
Di samping itu, kerja yang berkait rapat dengan air adalah sektor pertanian, satu sektor yang memerlukan permintaan air tinggi. la turut memainkan peranan penting dalam menjana Keluaran Dalam Negara Kasar. Pada 2013, lebih 1.6 juta orang bekerja dalam pertanian, terutama di kawasan pedalaman. Kesinambungan bekalan air untuk sektor ini adalah faktor utama untuk meneruskan penghasilan hasil tanaman dan kehidupan pekerja dalam sektor pertanian.
Fenomena El Nino sedang melanda negara pada masa ini, iaitu cuaca panas dan kering, dijangka berterusan sehingga bulan Jun. Untuk itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan Pelan kecemasan untuk mengatasi kesan El Nino ini kepada hasil tanaman serta penurunan pendapatan petani, selain daripada pemantauan kepada sumber bekalan air yang mencukupi.
Perkembangan sektor perindustrian yang pesat juga menjadi penyumbang utama dalam Keluaran Dalam Negara Kasar. Pelbagai kilang didirikan seperti kilang pemprosesan makanan, kertas, sarung tangan dan sebagainya. Perkembangan ini menyebabkan permintaan air bagi perindustrian juga semakin tinggi. Demikian juga permintaan kepada pekerja dalam sektor ini juga meningkat.
Namun begitu, akibat daripada Catuan air di Selangor pada dua tahun lalu menyebabkan kekurangan sumber bekalan air untuk kegunaan kilang, Hal ini menyebabkan sebuah kilang pemprosesan makanan multinasional di Selangor mengalami kerugian antara RM12 juta sehingga RM15 juta setiap hari. Kerugian ini turut beri kesan kepada pekerja di kilang tersebut yang jumlahnya melebihi 300 orang.
" Selain itu, gangguan air berpanjangan, seperti pada 2014 menyebabkan ramai pengguna yang terpaksa meluangkan masa mereka menakung air daripada tangki air pada waktu malam atau pagi. Keadaan ini sudah tentu boleh menjejaskan mereka yang perlu bekerja pada kebiasaan hari.
Pupuk Budaya Jimat Air
Perubahan cuaca turut menggugat kestabilan sumber air. Tambahan pula, pertambahan aktiviti penggunaan air serta penambahan bilangan penduduk turut menjadi faktor menggalakkan semua rakyat memupuk budaya jimat air. Pihak berkuasa perlu sentiasa menyediakan pelan tindakan awal, iaitu memantau sumber bekalan air mencukupi dan membuat pengumuman kepada pengguna supaya mereka dapat menyediakan diri dalam sebarang bidang keadaan.
Sempena Hari Air Sedunia tahun ini, persatuan Pengguna Air dan 'Iënaga Malaysia (WECAM), yang menjadi ahli gabungan FOMCA akan mengadakan larian Thirsty Runner 2016 pada 22 Mei 2016 bertempat di MAEPS, Serdang.
Tujuannya adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna terhadap kepentingan air. Mereka yang berminat untuk menyertai larian ini boleh melayari laman sesawang, https://mro.myraceonline.com/thirsty16/Registrations.
Air adalah sumber yang tidak ternilai kepada manusia. Oleh itu, amalkan sikap berjimat dalam penggunaan air bagi memastikan sumber bekalan itu dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Sumber : Berita Harian – Rencana – 5 April 2016 (Selasa)
Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)