Baru-baru ini satu laporan menyatakan 93 peratus rakyat Malaysia masih belum memiliki rumah sendiri.
Penulis tidak pasti apa formula digunakan dalam kaji selidik ini, tetapi angka itu agak besar dan perlu diberi perhatian.
Menurut hasil kajian ‘Beyond the Brick’ oleh HSBC Holdings, Malaysia menyaksikan peningkatan harga hartanah yang mendadak ketika dekad lalu, bagaimanapun pada tahun lalu, harga berkenaan agak mendatar.
Kajian itu turut menunjukkan 75 peratus golongan muda yang berhasrat membeli rumah tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk bayaran pendahuluan dan 43 peratus pula menangguhkan hasrat itu kerana tidak mampu membeli rumah pilihan mereka.
Mengenai kekurangan tunai untuk membeli rumah, 62 peratus golongan muda sedia mempertimbangkan bagi mengurangkan perbelanjaan untuk aktiviti masa lapang, 41 peratus sedia membeli kediaman lebih kecil dan 23 peratus pula mempertimbangkan untuk membeli hartanah bersama anggota keluarga.
Jadi tidak hairanlah ramai dalam kalangan warga kota yang berpendapatan lebih RM5,000 pun masih belum mampu membeli rumah disebabkan faktor harga dan komitmen terhadap tanggungjawab lain yang agak tinggi.
Sebab itu, kita sering lihat mereka yang sudah beranak pinak juga masih menyewa apartmen atau rumah teres di kawasan agak jauh dari tempat kerja khususnya di kawasan yang nilai hartanah lebih murah.
Penulis sendiri pun membeli rumah di lokasi jauh dari pejabat kerana faktor harga walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh dan kesesakan setiap hari.
Golongan muda mendapati mereka tidak mampu untuk membeli rumah disebabkan peningkatan harga hartanah dan kenaikan gaji yang lebih perlahan.
Walaupun kerajaan melancarkan pelbagai skim bagi membantu kumpulan tertentu memiliki rumah sendiri, masih ramai yang gagal memanfaatkan peluang itu dengan sebaiknya.
Bagi penulis, ia penyelesaian paling mudah. tidak perlu menyalahkan pihak itu dan pihak ini atau menjadikan kenaikan kos hidup sebagai alasan.
Semuanya terletak pada bagaimana perancangan kewangan kita. Sudahkah kita kenal pasti keutamaan kita dengan betul. Apa yang perlu ada dan apa yang tidak perlu ada dalam senarai hidup kita.
Jika ini diberi perhatian dari awal, penulis yakin tidak akan timbul isu sukar membeli rumah terutama dalam kalangan golongan muda.
Isu pemilikan rumah akan terus menjadi cabaran bagi kebanyakan rakyat Malaysia khususnya golongan Generasi Y.
Untuk 2017 ini orang muda khususnya wajar mengejar peluang yang tersedia seperti yang dilaporkan beberapa dapatan kajian dalam bidang hartanah.
Sebagai contoh portal hartanah nombor satu Malaysia, PropertyGuru.com.my memberi bayangan bahawa harapan pengguna terhadap pasaran hartanah tempatan akan terus bertambah baik pada tahun ini.
Tinjauan Sentimen Pengguna PropertyGuru terkini yang dijalankan pada penghujung tahun lalu mendapati secara keseluruhannya kira-kira 38 peratus daripada pengguna cukup berpuas hati dengan pasaran hartanah hari ini.
Terdapat cadangan daripada pelbagai pihak bagi memberi lebih ruang untuk rakyat Malaysia berpendapatan sederhana membeli rumah antaranya mengkaji semula kadar pinjaman, menilai kelayakan pinjaman perumahan mengikut pendapatan kasar (bukannya pendapatan bersih) dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun atau mana-mana yang sesuai.
Bagaimanapun, generasi muda juga perlu mengawal nafsu berbelanja mereka dan membuat tabungan sejak awal.
Tabiat pembaziran atau hobi yang tidak menguntungkan seperti gila aksesori kereta, gajet, melancong atau mengunjungi restoran mewah sepatutnya dihenti atau dikurangkan.
Golongan bujang biasanya mengambil sikap menunggu sehingga berkahwin serta mempunyai anak sebelum membeli rumah. Ini percaturan yang salah.
Sewajarnya ketika bujanglah mereka perlu banyak menabung. Bagi yang bergaji kecil tidak perlu pun memiliki kereta terutama yang tinggal di kota besar.
Guna saja, LRT, MRT, bas, teksi, Grab atau Uber. Tanya pada diri perlukah membeli kereta jika tiada keperluan dalam melakukan urusan harian.