TERDAPAT perbezaan pendapat mengenai skim piramid dan pelan pemasaran jualan langsung pelbagai peringkat atau Multilevel Marketing (MLM). Ada yang menyatakan kedua-duanya adalah sama dan ada juga menganggap ia berbeza antara satu sama lain.

Namun, menurut pakar kewangan pengguna, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, sekiranya diperhatikan secara rasional, struktur piramid dalam pelan pemasaran MLM sama sahaja dengan struktur piramid yang terdapat dalam bisnes model lain.

“Jika bentuk piramid itu menjadi kayu pengukur, sudah tentu banyak syarikat perniagaan menjadi haram dan terpaksa ditutup. Justeru, pengguna perlu menilai cara bagaimana sesuatu struktur organisasi perniagaan itu dibentuk. Ini kerana tidak semua syarikat jualan langsung mengandungi unsur penipuan.

“Malah syarikat yang mengikut peraturan mampu bertahan sehingga hari ini kerana produk dipasarkan ada nilai dan berkualiti,” katanya yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

“Pada umumnya, skim piramid adalah skim penipuan untuk mendapatkan pulangan melalui pusingan wang dengan tujuan utamanya mengajak lebih ramai orang masuk ke dalam skim tersebut tanpa melibatkan sebarang penjualan produk atau perkhidmatan.

“Pertambahan kemasukan ahli baharu menyebabkan syarikat tidak mampu menanggung pembayaran kepada ahli terdahulu dalam strukturnya sehingga akhirnya skim itu ‘tumbang’, sekali gus menyebabkan ramai orang kehilangan wang mereka,” katanya.


Dalam bahasa paling mudah difahami, skim piramid memperoleh keuntungan melalui hasil memperkenalkan atau mengambil ahli baharu dan melupakan tentang pemasaran dan penjualan produk atau perkhidmatan.

“Untuk mengenal pasti sama ada sesuatu perniagaan itu melibatkan skim piramid atau tidak, pengguna perlu melihat produk dan bagaimana pulangan modal itu diperoleh.

“Sekiranya sesuatu perniagaan (skim) itu tidak mempunyai produk perniagaan yang sah dan pengguna (pelabur) tidak akan mendapat sebarang pulangan modal, melainkan mereka berjaya memperkenalkan sebilangan ahli baru untuk menyertai skim tersebut, maka ia merupakan skim piramid.

“Skim piramid juga mengenakan yuran pendaftaran yang tidak munasabah, harga barang yang dijual (sekiranya ada) lebih mahal daripada harga pasaran dan ahli tidak perlu menggunakan produk berulang kali,” katanya.

Paling penting yang perlu dipandang serius pengguna khususnya umat Islam, sekiranya perniagaan MLM itu berbentuk skim piramid yang menjalankan perniagaan berunsur perjudian, penipuan, penindasan, paksaan dan lain-lain, hukum memiliki keuntungan atau kekayaan adalah haram dari segi syarak.

Dalam pada itu, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sehingga Oktober 2014 sebanyak 1,545 syarikat pernah memohon lesen di bawah Akta Jualan Langsung 1993.

Data pada 2013 bagaimanapun menunjukkan bilangan lesen jualan langsung yang sah bagi jenis perniagaan itu menunjukkan penurunan dari bulan ke bulan.

“Misalnya, sebanyak 384 lesen MLM yang sah dicatatkan pada Januari, namun menurun kepada 329 lesen pada Oktober 2013. Situasi ini memberi gambaran perniagaan berbentuk MLM semakin kurang mendapat perhatian atau permintaan.

“Saya rasa ada kebenaran bahawa MLM itu merupakan sejenis perniagaan bermusim.

“Terdapat beberapa faktor mungkin menyumbang kepada senario ini, antaranya kemunculan bentuk perniagaan secara dalam talian yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli menyarankan adalah lebih baik melakukan perniagaan berasaskan produk atau kemahiran sendiri kerana dengan cara itu dapat mengurangkan risiko ditipu.

Katanya, lebih berbaloi wang ‘dilaburkan’ untuk mengikuti kursus kemahiran agar dapat meningkatkan kebolehan diri dalam sesuatu bidang.

“Dengan memiliki sesuatu kemahiran berkaitan pertukangan atau komponen elektrik misalnya, bukan sahaja dapat mengurangkan kos membaik pulih kerosakan yang berlaku di dalam rumah, malah boleh dijadikan sebagai pekerjaan sampingan.

“Dalam bidang masakan atau menjahit, mereka yang sudah mahir sudah tentu boleh menghasilkan produk sendiri untuk dijual kepada orang ramai. Cara itu sebenarnya lebih mudah dan selamat untuk menjana pendapatan,” ujarnya.

Sumber :- //www.utusan.com.my/berita/jenayah/skim-piramid-tindas-ahli-bawahan