SYDNEY: Kajian mendapati kebanyakan orang mengambil lebih banyak garam dalam diet mereka, dengan peserta satu kaji selidik didapati mengambil lebih 33 peratus garam daripada yang mereka sangkakan, sekaligus meningkatkan risiko berlakunya penyakit kardiovaskular, lapor agensi berita China Xinhua.

Profesor Madya Dr. Jacqui Webster dari Institut George untuk Kesihatan Global memberitahu Xinhua, kajian dibuat di bandar Lithgow, Australia dengan 400 peserta kaji selidik diperiksa selepas mengambil makanan dalam jangka masa 24 jam.

Menurut Webster, selepas melakukan ujian air kencing terhadap peserta, pihaknya mendapati mereka mengambil sembilan gram garam setiap hari, sedangkan mereka menyangkakan hanya mengambil sebanyak 6.8 gram garam, dan data ini juga selari dengan keputusan kaji selidik yang dilakukan di tempat lain.

"Itu yang menarik tentang kajian ini, kaji selidiknya dilakukan di Lithgow namun kami juga membandingkan data yang diperolehi dengan data  Tinjauan Kesihatan Australia.
"Berdasarkan kaji selidik pemakanan yang dilakukan di Lithgow dan Tinjauan Kesihatan Australia, keputusan yang diperolehi hampir sama," katanya.

Perkara ini berlaku mungkin disebabkan garam dilabel sebagai sodium di beberapa negara, termasuk di Australia, dan menurut Yayasan Jantung Australia, bagi memperolehi jumlah sebenar garam dalam makanan ialah dengan menggandakan jumlah sodium sebanyak 2.5, yang mewakili jumlah garam yang terdapat dalam makanan.

Menurut Webster, hal itu mungkin mengelirukan pengguna namun di beberapa tempat seperti di United Kingdom, label garam turut ditandakan dalam produk makanan mereka.

"Ada hujah yang menyatakan di United Kingdom, mereka turut melabel garam kerana kebanyakan orang lebih mengenali garam berbanding sodium," kata Webster.



Di Australia, sistem 'Rating Kesihatan' digunakan, dan ia perlu dilekat pada bahagian hadapan bungkusan, namun jelas Webster, walaupun sistem ini membantu mendidik pengguna tentang paras garam dalam makanan, ia turut terikat dengan aspek nutrisi lain komposisi makanan.

"Saya fikir ia boleh diperbaiki. Secara keseluruhannya ia skim yang berguna, tetapi kita perlu memastikan bahawa sebahagian daripada unsur luaran ini ditangani. Ia sangat mencabar kerana makanan itu sendiri adalah rumit," kata Webster.

Bagi mengurangkan tekanan darah dan mengurangkan risiko serangan penyakit jantung, Yayasan Jantung mencadangkan orang dewasa mengambil kurang daripada enam gram (2,400 mg sodium) setiap hari, dan menurut Webster, ia memerlukan kepada penyelarasan strategi  ke atas industri makanan secara keseluruhan.

"Fokus utama ialah memastikan industri pemakanan mengurangkan garam dalam makanan, dan juga dalam setiap hidangan memandangkan lebih ramai yang memilih untuk makan di luar.

Sebagai tambahan, kita perlu memberi perhatian kepada kempen pemasaran bagi meningkatkan kesedaran pengguna dalam menyampaikan mesej iaitu garam memberi kesan buruk kepada kesihatan," katanya. 

-- BERNAMA

 

sumber :- http://www.astroawani.com/gaya-hidup/pengguna-ambil-33-peratus-lebih-garam-daripada-sepatutnya-kajian-142976