Banyak keluhan yang didengari tentang pemilik kenderaan lama yang terpaksa membayar premium insuran yang lebih tinggi bagi membolehkan mereka memperbaharui cukai jalan. Syarikat insurans telah menaikkan kadar premium insurans kenderaan lama lebih daripada seratus peratus. 

Pemilik kenderaan terpaksa membayar kadar yang ditetapkan kerana hendak memperbaharui cukai jalan. Kedua-duanya dimestikan ada bagi membolehkan kenderaan tersebut digunakan di jalan raya.


Begitu juga, pemilik kenderaan lama mengalami kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan kerana hanya syarikat insurans tertentu sahaja yang bersedia menginsuranskan kenderaan tersebut, dengan kadar premium yang terlalu tinggi.

Pemilik kenderaan yang menggunakan insurans pihak ketiga pula dikenakan kadar premium yang tinggi sehingga hampir menyamai insurans komprehensif, sedangkan kenderaan tersebut telah berusia lebih 10 tahun dan mereka telah selesai menjelaskan bayaran kenderaan itu.

Inilah dilema yang dihadapi oleh pemilik kenderaan lama. Mereka terpaksa membayar kadar premium insurans yang tinggi bagi membolehkan mereka memperbaharui cukai jalan. Jika tidak, kenderaan tersebut tidak boleh digunakan di jalan raya. Bagi yang tegar, mereka terpaksa menanggung risiko disaman oleh polis atau penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan kerana tidak mempunyai insurans dan cukai jalan. Jika berlaku kemalangan, mereka tidak mendapat sebarang pampasan. Ini menyebabkan pemilik kenderaan lama agak tertekan.

Jika mereka ingin membeli kenderaan baru, terpaksa pula menyediakan wang pendahuluan dan membayar ansuran bulan. Dalam keadaan sekarang, barang baik (BN), mereka terpaksa membuat pertimbangan yang mendalam sama ada perlu menukar kenderaan baru.

Tindakan syarikat insurans yang lebih mementingkan keuntungan berbanding melaksanakan tanggungjawab sosial perlu dipantau oleh pihak berkuasa. Jangan sampai sehingga pengguna terpaksa menggunakan kuasa mereka, memboikot syarikat insurans yang ”mencekik darah” ini. Akhirnya syarikat insurans terpaksa ”gulung tikar”. Bersediakah pengguna di Malaysia bersatu Kuasa pengguna boleh mengubah cara perniagaan di mana-mana sahaja tapi sanggupkah kita melakukannya??? 

Kita amat berharap agensi kerajaan yang berkaitan dengan insurans ini dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pemilik kenderaan lama ini yang rata-ratanya terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Tidak sewajarnya mereka dipaksa untuk membeli kenderaan baru disebabkan oleh masalah yang mereka hadapi kerana memiliki kenderaan lama.

Diharapkan juga slogan "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" perlu direalisasikan.  Pengguna juga perlu berfikiran secara waras dan matang, janganlah membiarkan diri kita terus diperbodohkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. 

Bersatu kita teguh, berpecah kita runtuh. 

MATHEEVANI MARATHANDAN
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
15 April 2010