Sebagai pengguna jalan raya, terutamanya apabila ingin pergi ke destinasi yang tidak biasa dikunjungi, papan tanda merupakan petunjuk dapat membantu. Namun begitu, keadaan ini tidak berlaku sekiranya berada di kawasan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. Papan tanda merupakan satu masalah yang utama.
Kebanyakan papan tanda didapati diletak di belakang pokok yang besar, di kawasan yang terselindung dan pelbagai tempat yang tidak banyak membantu pengguna untuk membuat keputusan. Malah terdapat sesetengah papan tanda yang amat mengelirukan.
Papan tanda amat penting bagi negara yang pesat membangun seperti Malaysia, yang mempunyai ramai penduduk yang bukannya penduduk asal sesebuah negeri berkenaan. Selain daripada itu, pengguna yang datang ke sesuatu destinasi untuk tujuan yang penting juga berasa amat bingung dan tidak puas hati setiap kali melihat papan tanda yang tidak berfaedah dan langsung tidak membantu mereka.
Adalah disarankan kepada pihak berkuasa agar menyediakan atau memasang pasang tanda di tempat yang dapat dilihat dengan jelas dan tempat yang bersesuaian, bagi membantu pengguna jalan raya membuat keputusan untuk menggunakan laluan yang betul.
Papan tanda juga sepatutnya memberi petunjuk yang konsisten dan disediakan dengan secukupnya agar pengguna tidak keliru atau sesat di kawasan-kawasan yang sukar untuk membuat pertanyaan, atau laluan yang tidak dibenarkan untuk berpatah balik.
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)