Skim Rumah Pertamaku yang dikhususkan untuk golongan muda memiliki rumah tanpa perlu membayar deposit 10 peratus amat dialu-alukan. Skim ini dapat membantu golongan muda ini memiliki rumah pada usia muda dengan tempoh bayaran sehingga 30 tahun.

Melalui skim ini, golongan muda yang berusia di bawah 35 tahun yang berpendapatan tidak melebihi RM3,000, membeli rumah antara RM100,000 hingga RM210,000 dengan pembiayaan sebanyak 100 peratus. Kerajaan telah memberikan jaminan deposit 10 peratus melalui Cagamas.

Persoalan yang timbul ialah walaupun golongan muda ini telah disediakan peluang untuk memiliki rumah, namun adakah terdapat rumah yang mencukupi untuk dibeli oleh mereka?

Rata-ratanya golongan muda ini bekerja di bandar-bandar, terutamanya di kawasan Lembah Klang.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di dalam Dewan Rakyat, jumlah unit rumah yang diluluskan pembinaannya oleh pemaju yang dilesenkan oleh Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan dalam tempoh 2005 hingga bulan Ogos 2010 di Lembah Klang, sebanyak  10 peratus projek perumahan kos rendah, 10 peratus rumah kos sederhana dan 80 peratus kos tinggi.

Jika berdasarkan statistik tersebut, jumlah unit rumah kos rendah dan sederhana amat rendah berbanding dengan rumah kos tinggi di kawasan Lembah Klang. Jika begini keadaannya, projek perumahan yang boleh dibeli oleh golongan muda amat terhad. Ini sudah pasti akan membantutkan usaha kerajaan untuk membolehkan golongan muda memiliki rumah.

Dalam hal ini juga, kerajaan Malaysia perlu mencontohi projek perumahan yang dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB). Syarikat Perumahan Negara boleh memainkan peranan seperti HDB, iaitu golongan muda yang ingin membeli rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku dikehendaki membeli rumah daripada Syarikat Perumahan Negara.

Begitu juga sekiranya mereka ingin menjual rumah itu pula, mereka hendaklah menjual balik kepada Syarikat Perumahan Negara. Dengan cara ini kawalan boleh dibuat dari segi jumlah rumah yang perlu dibina untuk memenuhi permintaan semasa golongan muda. Selain itu, harga rumah juga boleh dikawal agar tidak wujud unsur spekulasi oleh pihak-pihak yang ingin membeli rumah untuk tujuan pelaburan. 

Pemaju swasta dibenarkan untuk terlibat dalam skim ini. Namun hanya mereka yang mempunyai rekod yang baik sahaja yang dibenarkan. Selain itu bagi menjamin bahawa rumah tersebut siap dan berkualiti, pemaju juga dikehendaki mengamalkan konsep "Bina dan Jual". Ini memastikan golongan muda ini tidak berhadapan dengan risiko projek perumahan yang terbengkalai yang akhirnya membebankan mereka pula. 

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia