Bermula pada 15 Jun 2011, Semua sjen penarik kereta atau secara rasminya dikenali sebagai ejen perolehan semula (EPS) perlu mempunyai permit sebelum menarik balik kereta yang gagal menjelaskan ansuran di bawah perjanjian sewa beli.
Peraturan ini terkandung dalam Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2011.
Permit ejen perolehan semula ini bertujuan untuk memastikan proses penarikan balik balik atau perolehan semula dilaksanakan mengikut peraturan. Sebelum ini banyak kes melibatkan ejen perolehan semula yang menggunakan kekerasan semasa menarik balik kereta, termasuk menceroboh premis persendirian.
Sebelum seseorang diberikan permit sebagai ejen perolehan semula, dia perlu menjalani tapisan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia.
Ejen perolehan semula dikehendaki mematuhi tata cara perolehan semula sebagaimana yang ditetapkan di bawah Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) seperti berikut:
- • Pemegang permit (penarik kereta) harus memiliki kad Permit EPS yang sah dan memastikan permit masih dalam tempoh sahlaku semasa menjalankan aktiviti pengambilan semula kenderaan atau barangan.
- • Pemegang permit yang terlibat semasa aktiviti pengambilan semula kenderaan atau barangan haruslah pada bilangan yang minimum.
- • Pemegang permit harus mendapat keizinan daripada penyewa sebelum memasuki premis persendirian.
- • Pemegang permit haruslah berketerampilan kemas dan mengamalkan sikap profesionalisme semasa menjalankan aktiviti pengambilan semula kenderaan atau barangan.
- • Pemegang permit adalah dilarang menggunakan segala bentuk kekerasan sewaktu proses pengambilan semula dijalankan.
- • Sewaktu proses pengambilan semula dijalankan, pemegang permit harus :
- i. Mempamerkan Permit EPS, kad pengenalan dan menyatakan lokasi pemunya (biasanya bank) yang akan menerima barangan yang diambil semula.
- ii. Memberi masa yang munasabah kepada penyewa untuk memeriksa dan mengeluarkan barangan peribadi kepunyaan penyewa
- iii. Mengambil gambar dalam dan luar kenderaan atau barangan untuk diserahkan kepada pemunya.
- iv. Mengeluarkan senarai inventori tentang keadaan barang semasa proses pengambilan semula dijalankan.
- • Proses pengambilan semula perlu dilakukan dengan kehadiran penyewa atau sesiapa yang berkenaan terhadap kenderaan atau barangan tersebut. Pencerobohan ke atas premis persendirian tidak dibenarkan kecuali dengan perintah mahkamah.
- • Pemegang permit haruslah membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas proses pengambilan semula selesai dijalankan. Pengecualian hanya diberi bagi situasi tertentu, dimana tempoh masa pelanjutan tidak melebihi 48 jam.
- • Pemegang permit adalah terikat dengan segala undang-undang, peraturan, terma dan syarat, kod etika dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pengawal (KPDNKK) bagi menjalankan aktiviti pengambilan semula.
- • Pemegang permit hendaklah sentiasa peka dengan sebarang Kod Etika dan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Pengawal (KPDNKK) dari semasa ke semasa.
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)