Pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 22 Jun 2011, amat dialu-alukan oleh para pengguna. Kedai Rakyat 1Malaysia, yang dikendalikan oleh Mydin Mohammed Holding Bhd, pengusaha Pasar Raya Besar Mydin, akan menawarkan barangan pada harga yang lebih rendah. Kedai Rakyat 1Malaysia pertama dibuka di Stesen LRT Kelana Jaya.
Kedai Rakyat 1Malaysia ini akan menjual pelbagai barangan yang telah dibungkus semula dengan jenama ‘Kedai Rakyat 1Malaysia’. Pada masa ini sebanyak 250 jenis barangan telah dibungkus semula di bawah jenama ini.
Usaha mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia ini bertujuan untuk membolehkan pengguna membuat pilihan untuk membeli barang bukan berjenama pada harga yang lebih rendah. Dalam menghadapi cabaran harga barang yang meningkat pada masa ini, kewujudan kedai seperti ini amat diharapkan oleh pengguna.
Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia masih memilih produk berjenama apabila membeli barangan, khususnya di pasar raya besar, walaupun wujud jenama gedung pasar raya yang menawarkan harga 30 peratus hingga 40 peratus lebih rendah. Pengguna di Malaysia dikatakan membeli produk jenama gedung sebanyak 14 peratus. Ini bertentangan dengan sikap pengguna di negara maju yang membeli 40 peratus jenama gedung.
FOMCA berharap kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia ini dapat diperluaskan di seluruh negara. Kewujudannya juga tidak sewajarnya hanya untuk menampung keperluan pengguna di kawasan bandar sahaja, tetapi juga pengguna di kawasan luar bandar. Ini dapat membantu para pengguna di luar bandar yang turut menghadapi masalah kenaikan harga barangan.
Selain membantu pengguna untuk membeli pada harga yang lebih rendah, kedai ini juga boleh dijadikan sebagai penanda aras harga barangan di pasaran sebagai perbandingan kepada pengguna. Dengan ini, kedai-kedai yang lain tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya.
Kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia ini perlu dilihat sebagai tidak bertujuan untuk melumpuhkn operasi kedai runcit yang lain, tetapi untuk mewujudkan persaingan yang sihat dan menyediakan pilihan kepada pengguna. Kedai runcit lain masih terus beroperasi dengan menjual barang berjenama yang masih mempunyai penggemarnya tersendiri.
Kedai Rakyat 1Malaysia boleh menjadi tempat untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh pengilang tempatan serta pengusaha tanaman dan ternakan tempatan, yang mungkin menghadapi masalah untuk memasarkan produk mereka di kedai-kedai dan pasar raya besar. Ini sudah pasti dapat membantu pengusaha tempatan di samping memperluaskan pasaran produk keluaran tempatan.
Semua agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pemasaran produk dan hasil tanaman tempatan, seperti FAMA, perlu dilibatkan dalam menyediakan bekalan untuk Kedai Rakyat 1Malaysia.
FOMCA juga berharap operasi Kedai Rakyat 1Malaysia ini akan berterusan dalam tempoh yang panjang. Kegagalan rangkaian pasar mini G Mart yang dikendalikan oleh Pernas Edar perlu dijadikan pengajaran agar tidak berulang kembali.
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)