Langkah Bank Negara mengurangkan tempoh pinjaman peribadi kepada 10 tahun dan pinjaman rumah kepada 35 tahun adalah merupakan satu langkah yang tepat bagi mengelak berlaku kemungkinan “gelembung ekonomi” seperti di Amerika Syarikat. Keadaan ini dapat mengelakkan berlaku kemelesetan ekonomi Negara yang lebih kritikal untuk tempoh kurang daripada tiga tahun yang akan datang. Hutang isi rumah ketika ini pada berada pada paras 83 peratus daripada keluaran dalam Negara kasar (KDNK).

Menurut pakar ekonomi, nisbah hutang isi rumah Negara adalah yang tertinggi di rantau ini. Hal ini menjadikan Malaysia, negara ketiga terbesar di Asia Tenggara yang terjejas, terutamanya  isi rumah yang berpendapatan rendah dan menanggung sebahagian besar daripada hutang keseluruhannya. Manakala, Singapura dan Hong Kong masing-masing mencatatkan 67% dan 57% daripada KDNK.


Pada tahun 2012, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima 5,555 aduan mengenai insitusi perbankan dan perkhidmatan kewangan pengguna yang melibatkan pinjaman sebanyak 45.6% termasuk pinjaman perumahan, pinjaman sewa beli, peribadi, pinjaman lain-lain dan kad kredit.

Hasil kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna (CRRC) pada tahun 2012 pula,  menunjukkan bahawa lebih kurang 47% pekerja muda mempunyai hutang yang serius, iaitu lebih daripada 30% daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang. Kajian juga mendapati 37% pekerja muda mengaku bahawa mereka berbelanja melebihi daripada tahap kemampuan. Hal ini merupakan salah satu penyebab utama mengakibatkan seseorang menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan. 

Golongan pengguna muda harus diberi persediaan mengenai pendidikan pengurusan kewangan agar mereka tidak terbeban dengan peraturan baharu ini. Menurut Prof Madya Barjoyai pakar ekonomi, penyelesaian jangka panjang dan polisi khusus perlu ada bagi mereka memiliki rumah serta merta selepas graduan. 

Perubahan gaya hidup juga antara faktor penyebab utama pengguna muda membuat pinjaman seperti memohon pinjaman peribadi untuk menampung kos perkhawinan adalah tidak seharusnya berlaku. Harus diingat, apabila membuat pinjaman terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan antaranya tujuan pinjaman, kemampuan membayar balik pinjaman, tempoh pinjaman, kadar faedah dan syarat serta terma pinjaman. Utamakan keperluan dan tangguhkan kehendak. Sediakan perancangan dan persediaan untuk membeli rumah sedari awal. Tetapkan matlamat seperti menyimpan 10% daripada pendapatan bulanan dan displin menabung. 

Pengurusan kewangan seharusnya bermula sedari kecil dan institusi kekeluargaan perlu mendidik anak-anak mereka dengan amalan menabung. Ingat, simpan sedikit, lama-lama menjadi bukit ! .  Kita sedia maklum bahawa nilai wang yang dimiliki sekarang jauh lebih bernilai berbanding wang pada masa akan datang, maka kita perlu meningkatkan tabungan di samping memilih pelaburan yang terbaik untuk simpanan jangka masa panjang.

Oleh itu, FOMCA mencadangkan agar supaya ditubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan untuk menyepadukan dan menyelaras pendidikan kewangan bagi semua sector termasuk sekolah, pekerja muda, masyarakat dan keluarga. Pendidikan kewangan ini dapat membantu pengguna  untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik serta mempunyai pengetahuan tentang sesuatu produk dan perkhidmatan kewangan.

Siti Rahayu Zakaria
Senior Manager
Vice President
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
HP : 0192235703

FOMCA, 
No 1D-1 Bangunan SKPPK, 
Jalan SS9A/17,47300 Petaling Jaya
Selangor
Tel : 03-7876 2009 Fax: 03-7877 1076