Maklum balas FOMCA tentang Bajet 2015
- Pelaksanaan GST
FOMCA menyokong tindakan untuk mengurangkan kesan negatif pelaksanaan GST termasuk yang berkadar sifar (zero-rated) untuk bahan makanan asas, pengecualian untuk bahan api, penyediaan Panduan Pembeli (Shopper;s Guide) dan pengurangan kadar cukai individu..
Namun begitu FOMCA ingin menekankan supaya penguatkuasaan yang tegas diambil terhadap penjual yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga lebih daripada kadar yang sepatutnya. Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan mesti dilaksanakan dengan tegas untuk melindungi pengguna daripada aktiviti pencatutan.
Yang kedua, setiap barang mesti ada label atau tag dengan (warna yang standard) untuk barangan yang kadar GST standard, GST dikecualikan dan GST yang berkadar sifar.
Seterusnya, FOMCA mencadangkan agar satu talian hotline atau pusat panggilan ditubuhkan supaya pengguna yang merasakan bahawa mereka dikenakan harga lebih daripada sepatutnya boleh buat aduan. Pihak penguat kuasa harus menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Seterusnya rakyat harus dimaklumkan tentang siasatan dan tindakan yang diambil. Ini bertujuan untuk membina keyakinan pengguna bahawa aduan mereka telah diambil tindakan.
- Pengangkutan Awam
Untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam sehingga menjadi pilihan utama bagi semua rakyat. Kelemahan utama sistem pengangkutan sekarang adalah sistem pengangkutan bas dalam Bandar yang pada masa ini tidak mencapai tahap yang memuaskan, dipercayai dan cekap untuk digunakan oleh semua rakyat.
FOMCA juga berharap sistem pengangkutan bas dapat ditambah baik untuk mencapai tahap menjadi pilihan rakyat.
- Kesihatan
FOMCA berharap kemudahan dan peralatan di hospital kerajaan di bandar-bandar dapat dipertingkatkan untuk memudahkan rakyat untuk mendapatkan rawatan. Pada masa sekarang hanya hospital besar di beberapa bandar mempunyai kemudahan dan peralatan yang mencukupi. Ini menimbulkan kesulitan kepada pesakit yang terpaksa membuat perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
Seterusnya bilangan pakar perubatan di hospital kerajaan masih berkurangan. Ini menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan khidmat pakar untuk mendapat rawatan. Jumlah pakar perubatan perlu ditambah dan ditempatkan di semua hospital-hospital kerajaan.
- Perumahan
FOMCA menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk menambahkan rumah mampu milik.
Peraturan perlu diperketatkan serta langkah-langkah berkesan perlu diadakan bagi mengurangkan aktiviti spekulasi terhadap harga rumah.
- Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi
Bayaran bagi panggilan telefon bimbit dan internet di Malaysia adalah antara tertinggi di Asia, tetapi kualiti perkhidmatan telekomunikasi amat tidak memuaskan.
FOMCA berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengkaji semula kadar bayaran yang dikenakan serta memastikan kualiti perkhidmatan pada tahap yang memuaskan. Tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal memberikan perkhidmatan yang baik.
- Pendidikan Kewangan
Walaupun terdapat pelbagai program yang dirangka untuk golongan belia dan pekerja muda dari aspek kepimpinan, latihan dan keusahawanan, namun FOMCA berpendapat, satu aspek kemahiran utama telah diabaikan, iaitu pendidikan kewangan. Disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini, manakala pendapatan tidak banyak berubah seiring dengan kenaikan kos sara hidup, maka ramai pekerja muda yang menghadapi masalah kewangan yang serius.
Pendidikan kewangan adalah kemahiran hidup yang kritikal. Kerajaan perlu memberikan keutamaankepada pendidikan kewangan serta memberikan peruntukan kewangan yang secukupnya untuk mengadakan sesi pendidikan kewangan kepada mereka. Kerajaan perlu mewujudkan kerjasma dengan pelbagai pihak untuk mendidik pekerja muda ke arah menjadi pekerja yang mempunyai kedudukan kewangan yang mantap dan stabil. Mereka juga harus menguruskan kewangan untuk masa hadapan mereka, seperti pendidikan anak dan persaraan.
- Blueprint Air Negara
FOMCA mengalu-alukan pengubalan Blueprint Air Negara. Namun, lebih banyak maklumat diperlukan, seperti geran ataupun dana yang akan disalurkan. Pada masa yang sama, semua pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan juga perlu terlibat dalam merangka blueprint tersebut dan juga jadual pelaksanaan perlu diwujudkan.
Untuk memastikan blueprint tersebut adalah menyeluruh dan bersepadu, satu perkongsian strategik perlu diwujudkan di antara badan kerajaan dan badan bukan kerajaan. Satu pusat informasi air negara perlu diwujudkan untuk memastikan penyebaran informasi mengenai air adalah sejajar dengan blueprint tersebut.
Pengurusan Permintaan Air mesti dimasukkan dalam blueprint tersebut kerana rakyat Malaysia merupakan salah satu pengguna air yang terbanyak di rantau ini. Program pendidikan pengguna untuk penjimatan air mesti dijalankan untuk memastikan kelestarian bekalan air di Malaysia dan dimasukkan dalam blueprint tersebut.
Penstrukturan sektor industri bekalan air di Malaysia oleh operator air mesti dijalankan seperti yang telah dirancangkan dan perlu dipercepatkan lagi untuk permantapan sektor tersebut.
- Sumber bekalan air
FOMCA memang menyokong pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan syarat projek tersebut tidak melanggar hak manusia dan kemusnahan alam sekitar di sekeliling loji air tersebut.
FOMCA mengalu-alukan penggunaan semula air kumbahan untuk industri dan pertanian dan juga sistem penggunaan air ribut. Namun, kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti potensi sistem tersebut dan juga kuantiti air yang boleh dibekalkan.
FOMCA berasa bimbang terhadap cadangan penggunaan air bawah tanah. Satu kajian impak perlu dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan penggunaan teknologi tersebut tidak akan menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti tanah tenggelam kepada pengguna terutamanya pengguna yang tinggal di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
- Air Tidak Berhasil (Non-revenue Water)
FOMCA mengalu-alukan cadangan ini kerana situasi air tidak berhasil di Malaysia sangat membimbangkan. Selain penukaran paip air dan penubuhan zon pengawalan kebocoran, kapasiti dan kemahiran pekerja dalam sektor air mengenai air tidak berhasil juga perlu dipertingkat. Kerajaan juga perlu meningkatkan penguatkuasaan dan permantauan terhadap kes kecurian air.
- Menaik taraf Kemudahan dan Infrastruktur Luar Bandar
FOMCA mengalu-alukan cadangan penaikan taraf kemudahan dan infrastruktur luar bandar. Namun, penyelenggaraan sistem-sistem dan kemudahan yang telah dipasang ini perlu dimantapkan lagi agar rakyat di kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan tersebut untuk jangka masa yang lebih panjang.
- Perubahan Iklim dan Pengendalian Bencana
Lebih banyak peruntukan perlu disalurkan untuk menghadapi perubahan iklim dan juga pengendalian bencana di Malaysia memandangkan kejadian cuaca ekstrem semakin menjadi-jadi di Malaysia. Kempen perlindungan alam sekitar dan juga kesedaran terhadap perubahan iklim juga perlu dititikberatkan dan dipertingkat lagi.
- Penggunaan Tenaga/Elektrik
FOMCA berasa kecewa dalam isu berkaitan pengguna tenaga/elektrik disebabkan kekurangan:
- Insentif untuk pengguna dan industri dalam penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan juga kelengkapan yang cekap tenaga.
- Insentif untuk penggunaan teknologi hijau dan juga kemudahan dan peralatan cekap tenaga.
- Program penjimatan dan kecekapan tenaga untuk negara.
- Kereta Hybrid dan Elektrik
FOMCA mengalu-alukan peruntukan pembelian 50 buah bas elektrik, namun:
- Kekurangan peruntukan untuk membina dan menaik taraf sistem jalan raya sekarang dan juga stesen caj elektrik.
- Tiada insentif untuk kereta hybrid dan juga kereta elektrik bagi menggalakkan rakyat membeli kereta hybrid dan kereta elektrik yang kurang menggunakan bahan api dan tidak mencemarkan alam sekitar.
- Perkhidmatan Pembetungan
- Blueprint Air Negara hanya memberi tumpuanterhadap kelansungan bekalan air, namun kurang memberikan penekanan terhadap perkhidmatan pembetungan yang juga perkhidmatan utama dalam kitaran air kerana pembetungan antara penyumbang terbesar pencemaran sumber air.
- Di dalam bajet ini juga diumumkan penggunaan air terawat untuk industri dan pertanian, namun ia sepatutnya menggalakkan penggunaan air sisa rawat dan bukan hanya air terawat.
- Selain itu, kempen kesedaran untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengosongkan tangki septik di rumah dan membayar bil pembetungan adalah diperlukan.
- Penambahbaikan bukan sahaja tertakluk kepada loji-loji rawatan air sahaja, tetapi juga kepada perkhidmatan pembetungan kerana kebanyakan loji pembetungan masih menggunakan sistem yang lama.