Gambar menunjukkan tentang keadaan rumah yang dibeli oleh seorang pengguna. Pengguna telah menghabiskan semua wang simpanannya untuk memiliki sebuah rumah idaman bagi keperluan keluarganya. Namun apabila masalah ini diajukan kepada pemaju, dengan mudah pemaju itu melepaskan tanggungjawabnya.
Apabila merujuk kepada kes-kes yang dikendalikan oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), memang terdapat sesetengah pemaju menggunakan taktik atau kelonggaran undang-undang, iaitu mengunakan nama syarikat induk sebagai penjual (vendor) dan menubuhkan anak syarikat sebagai pemaju projek. Dengan cara ini, syarikat induk dapat mengelakkan diri daripada semua tanggungjawab yang diletakkan sebagai pemaju perumahan.
Pengguna yang membeli sesuatu projek perumahan tidak mengetahui tentang perbezaan antara pemaju dan penjual (vendor). Oleh itu apabila ditimpa masalah, pemaju tidak akan mengambil sebarang tanggungjawab untuk membaiki kerosakan berkenaan, yang mungkin merupakan kerosakan yang kritikal. Alasan yang sering diberikan adalah kelulusan CF dan syarat yang mengatakan pembeli (pengguna) membeli rumah berkenaan dengan seadanya.
Persoalannya adakah pengguna dimaklumkan isu ini terlebih dahulu? Adakah pengguna sedar akan maksud yang tersirat di sebalik pelbagai promosi yang diberikan oleh pemaju? Jawapannya, tidak! Pelbagai pengiklanan projek perumahan di serata tempat yang mengatakan kos guaman adalah percuma. Adakah ini benar? Adakah tawaran ini dibuat dengan niat yang baik?
Pengguna dan bakal pembeli rumah hendaklah menyedari bahawa pemaju tidak akan menyediakan khidmat guaman atau memberikan perkhidmatan guaman dengan percuma. Semua perkhidmatan guaman yang dimaksudkan sebagai percuma itu adalah kerja-kerja guaman pemaju dan dokumen berkaitan pinjaman bank. Oleh itu, sekiranya pembeli rumah tidak mempunyai peguam sendiri, maka tiada bantuan guaman yang akan diberikan jika berlaku sesuatu masalah kelak. Justeru, pemaju sering menggunakan kelebihan ini untuk mengabaikan tanggungjawabnya kepada pembeli rumah.
Kecekapan pemaju dalam mengelirukan pengguna dapat dilihat melalui klausa yang terdapat dalam Perjanjian Jual Beli Rumah. Pengguna selalu diberikan kefahaman bahawa semua perjanjian adalah standard dan tidak perlu diragui. Ini akan akan menambahkan keyakinan pengguna untuk terus menandatangani perjanjian tersebut, tanpa mengambil masa untuk menelitinya terlebih dahulu. Apabila diajukan persoalan tentang kerja-kerja pembaikpulihan yang dilakukan sekiranya berlaku kerosakan, wakil pemaju atau kakitangan firma guaman akan terus memberi janji kosong bahawa semua masalah itu akan diselesaikan.
Realitinya, kerosakan atau masalah yang berlaku terhadap rumah itu tidak akan dapat dilihat dengan mata kasar. Ia hanya akan diketahui apabila rumah berkenaan telah didiami dalam tempoh tertentu. Contohnya struktur dalam paip yang bocor yang akan menyebabkan dinding rosak. Boleh dikatakan majoriti pengguna yang tidak menyedari apakah jenis perjanjian dan komplikasi yang mungkin mereka hadapi. Apakah perbezaan antara Perjanjian Jual Beli Rumah (S & P) daripada Pemaju dan Perjanjian Jual Beli Rumah daripada Pemaju, tetapi dengan nama penjual “Subsales”. Adakalanya ia difahamkan sebagai S &P, tetapi klausa yang dinyatakan sebagai Subsales. Oleh itu tidak ada tanggungjwab secara langsung daripada pihak pemaju kepada pembeli, seperti membeli rumah daripada individu.
Oleh itu pembeli rumah perlu mempertingkat pengetahuan mereka sebelum membeli sesuatu rumah. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran promosi dan janji-janji daripada wakil pemaju. Begitu juga, walaupun anda membeli rumah dan berurusan di pejabat pemaju, ia tidak semestinya menunjukkan bahawa pihak yang anda berurusan itu mempunyai tanggungjawab sebagai pemaju. Mereka mungkin hanya sekadar vendor sahaja, tetapi sekiranya berlaku masalah, anda perlu berurusan dengan pemaju, yang sebenarnya wujud atas kertas sahaja, sebagai anak syarikat kepada syarikat induk yang bertindak sebagai vendor itu. Apabila sesuatu projek itu bermasalah dan pemaju “gulung tikar”, syarikat induk tidak akan bertanggungjawab dan “mencuci tangan” sahaja.
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)