8 Julai 2020
KUALA LUMPUR - Tempoh pemulihan pandemik pasca koronavirus (Covid-19) di Malaysia menjadi masa terbaik bagi kalangan pembeli rumah kali pertama dan pelabur untuk memiliki aset berkenaan, demikian menurut PropertyGuru.
PropertyGuru berkata, berdasarkan kajian oleh Indeks Sentimen Hartanah Nasional, penyewa berusia di antara 22 hingga 29 tahun dijangka tidak menangguhkan keputusan mereka untuk membeli hartanah.
Pengurus Negara, Sheldon Fernandez berkata melihat kepada sentimen pengguna pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyewa dan pencari rumah generasi muda lebih menghargai manfaat memiliki hartanah sendiri.
“Bagaimanapun, kesukaran untuk melihat hartanah dan cabaran untuk mendapatkan pinjaman rumah merupakan isu yang paling kerap dihadapi rakyat Malaysia yang kembali kepada normal baharu.
“Walaupun berminat dengan hartanah, penyewa dan mereka yang tinggal bersama-sama ibu bapa dijangka paling sukar untuk mendapatkan pinjaman. Tidak memperoleh maklumat mencukupi mengenai hartanah turut menjadi kebimbangan yang biasa,” katanya.
Menurutnya, pembiayaan dan kemampuan akan dikaji memandangkan ramai yang mengutamakan kelangsungan hidup hari demi hari ketika fasa potensi kemelesetan ini.
“Mereka yang mempunyai penampan mencukupi untuk memanfaatkan senario pasaran semasa akan mempunyai ruang mencukupi untuk memanfaatkan program bagi menangani kes-kes khusus seperti perumahan mampu milik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Jones Lang Wootton, Prem Kumar berkata, pihak berkepentingan dalam pasaran hartanah mengambil perhatian terhadap ketidakpastian, selain potensi impak negatif kepada harga hartanah yang telah menghalang keputusan pembelian hartanah.
Merujuk kepada dapatan Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia, beliau berkata, 57 peratus memilih 2021 untuk membuat pembelian manakala 37 peratus lagi menunjukkan hasrat untuk membeli hartanah menjelang akhir tahun ini.
“Bagi jangka panjang, hanya lapan peratus daripada pelabur berkata mereka akan menunda hasrat membeli hartanah antara tiga hingga lima tahun jika berlaku kemelesetan,” katanya. - Bernama
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/91206/BERITA/Nasional/Pasca-Covid-19-Pembeli-rumah-kali-pertama-sasar-beli-hartanah