DUNGUN: Institusi perbankan di negara ini disaran memberi kelonggaran kepada pemohon pinjaman perumahan terutama golongan B40 dengan mengambil kira pendapatan hasil kerja sambilan mereka.Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata ia antara layanan istimewa boleh diberikan institusi perbankan kepada golongan B40 selaras hasrat kerajaan Pakatan Harapan yang mengutamakan pemilikan rumah untuk golongan tersebut.
"Sebelum ini, institusi perbankan menggabungkan jumlah pendapatan suami dan isteri untuk kelayakan membuat pinjaman perumahan, jadi apa salahnya jika permohonan pinjaman itu juga mengambil kira pendapatan hasil kerja sambilan yang mereka buat."Namun, perlu ada bukti sahih mengenai gaji atau penyata pendapatan daripada kerja sambilan itu dalam tempoh yang munasabah (enam hingga 12 bulan) untuk menyokong permohonan pinjaman tersebut," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Projek Rumah Idaman Rakyat (RIR) yang dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Santong dekat Paka, pada Ahad.
Projek RIR itu menyediakan 229 unit kediaman mampu milik melibatkan 70 unit rumah teres setingkat; 60 unit teres dua tingkat; 76 unit (semi-D) serta rumah kedai (23 unit), dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2020.Sementara itu, beliau berkata kementerian akan memantau pembelian rumah SPNB bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak memilikinya."Memang kita ada terima banyak rungutan sebelum ini kerana pemilihan pembeli rumah SPNB dan rumah kos rendah yang lain hanya 'mengikut selera' pihak tertentu sahaja.
"Kita akan pastikan ia tidak berlaku lagi kerana di bawah kerajaan baharu ini, kita mahu hanya mereka yang layak dapat memiliki rumah seperti ini khususnya mereka yang belum pernah memiliki rumah sendiri," katanya.
-- BERNAMA