Kerajaan semalam mengumumkan satu lagi langkah membela rakyat dengan menggariskan beberapa spesifikasi dan panduan perumahan kepada pelbagai pihak, termasuk pemaju rumah mampu milik Semua projek baharu rumah awam dan swasta akan diwajib mendapat Sijil Pe

Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025 dilancarkan semalam, untuk menyelesaikan isu penawaran dan permintaan perumahan yang tidak seimbang serta ketidakmampuan rakyat membeli rumah pada harga pasaran.Dasar itu juga bermatlamat mengatasi kelemahan industri perumahan ketika ini yang tidak berinovasi, selain tiada sistem bersepadu untuk memastikan penawaran dan permintaan adalah sepadan.Untuk mencapai matlamat itu dalam tempoh tujuh tahun lagi, DRN setebal 162 muka surat menggariskan lima fokus, 16 strategi dan 57 pelan tindakan.Lima fokus itu ialah membina rumah berkualiti, menambah baik aksesibiliti dan tahap kemampuan rakyat memiliki rumah, kejiranan berkualiti, koordinasi antara perumahan dan pembangunan pengangkutan serta memperkukuh institusi berkaitan mencapai matlamat dasar berkenaan.Dasar itu dirangka Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas mendapati penawaran rumah di bandar lebih menjurus kepada perumahan kos tinggi, sedangkan permintaan lebih menjurus ke arah rumah kos rendah dan mampu milik.

Kajian turut mendapati kebanyakan rumah di negara ini masih dikategorikan sebagai sangat tidak mampu dimiliki, dengan harga ditawarkan pula semakin meningkat.DRN yang diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin juga menekankan dua subdasar iaitu Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) dan pembangunan hartanah swasta.

Lebih sistematik

Ia juga berfungsi sebagai panduan pembangunan perumahan pada peringkat Persekutuan, negeri dan menjadi pemangkin penyediaan rumah yang sistematik serta menyeluruh untuk pembangunan perbandaran berdaya maju dari segi ekonomi.Turut menjadi objektif dasar itu ialah membantu kerajaan dan swasta menyediakan perumahan untuk setiap lapisan masyarakat, akses isi rumah kepada perumahan menerusi pemilikan dan sewaan serta penyelenggaraan berkualiti.

Serentak pengenalan dasar baharu itu, Perbadanan PRIMA Malaysia, Program Perumahan Penjawat Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) kini diletakkan di bawah KPKT untuk menyelaraskan pembinaan rumah oleh agensi Kerajaan Persekutuan.Buat kali pertama, sebuah akta baharu dinamakan Akta Sewaan Kediaman juga akan digubal bagi melindungi kepentingan pemilik rumah dan penyewa, selain mengatasi isu diskriminasi kaum berhubung pembelian dan penyewaan rumah, yang dijangka turut menyentuh mengenai kuota perumahan Bumiputera.

Zuraida berkata, akta itu menggunakan model di Australia dan Scotland, namun tidak mengulas lanjut berhubung kuota perumahan Bumiputera.DRN juga menetapkan semua projek baharu perumahan awam dan swasta akan diwajibkan mendapat Sijil Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan Bangunan (QLASSIC), selain memastikan peralihan daripada sistem Jual-kemudian-bina (JKB) ketika ini kepada Bina-kemudian-jual (BKJ) terlaksana.Garis panduan tahap kemampuan pemilikan dan penyewaan rumah juga akan diwujudkan dengan mengambil kira pendapatan penduduk, selain laporan penilaian mengenainya akan diterbitkan setiap dua tahun.


Berita Harian 29 Jan 2019 Oleh Luqman Arif Abdul Karim dan Ahmad Suhael Adnan