Baru-baru ini, Kabinet Malaysia telah mengambil keputusan yang menggemparkan masyarakat Malaysia dengan mengumumkan bahawa pemandu kedua dan konduktor wanita diwajibkan bagi bas atau van sekolah. Keputusan ini diambil selepas cadangan yang diutarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, baru-baru ini ketika mengulas isu rogol dan cabul yang kian berlaku terhadap pelajar-pelajar sekolah yang menaiki bas atau van sekolah.
Beliau mencadangkan bahawa setiap bas atau van sekolah yang membawa pelajar-pelajar mesti mempunyai pemandu kedua konduktor wanita bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar terjamin. Ini kerana, baru-baru ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan beberapa kes yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah dirogol dan dicabul oleh pemandu bas atau van sekolah.
Tetapi, dengan penambahan seorang lagi pemandu kedua dan konduktor wanita, tambang bas sekolah juga mungkin akan melonjak secara ketara sebanyak 10 hingga 15 peratus. Ini boleh menyebabkan ibu bapa terpaksa menanggung perbelanjaan tambang bas sekolah yang lebih tinggi. Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM), Tan Chui Leng, kenaikan tambang bas atau van sekolah itu tidak dapat dielak kerana pengusaha-pengusaha bas sekolah harus menanggung peningkatan kos berikutan dengan penguatkuasaan syarat baru yang diputuskan oleh Kabinet Malaysia baru-baru ini.
Oleh itu, kerajaan Malaysia haruslah memikirkan jalan untuk menyelesaikan masalah kenaikan tambang bas atau van sekolah ini dengan memberikan subsidi kepada pengusaha bas atau van sekolah yang mempunyai permit sah bagi meringankan beban ibu bapa yang menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah.
Mageswaran A/L Senderal
Era Consumer Malaysia