KUALA LUMPUR: Adakah anda yakin keselamatan anda terjamin ketika menaiki teksi konvensional, perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar?

Bagaimana anda mahu membezakan yang mana lebih telus atau tidak?

Bagaimana jika yang memandu anda ke sesuatu destinasi adalah seorang yang tidak baik?

Sebelum memperkatakan lebih lanjut, rakyat Malaysia khususnya di bandar-bandar besar dilihat selesa dengan kedua-dua perkhidmatan tersebut.

Perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar di Malaysia telah merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat.

Pengalaman menggunakan perkhidmatan Uber baru-baru ini begitu membuka mata saya tentang bagaimana pemandu itu yang merupakan bapa kepada seorang bayi perempuan mampu menampung kehidupannya di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Aduan ketidakpuasan hati pemandu-pemandu teksi bermeter atau konvensional tentang perhidmatan itu juga tidak didengari lagi.
Malah ada antara pemandu konvensional terbabit turut memuat turun aplikasi perkhidmatan tersebut dan mendaftar sebagai pemandu Uber mahupun GrabCar.

Tidak timbul masalah bukan? Tapi bagaimana anda melihat masalah ini?

 

 


Memetik laporan media tempatan Harian Metro bertarikh 6 Jun, 2017, polis menerima laporan dan menyiasat berhubung dakwaan dua lelaki ditinggalkan pemandu Uber separuh jalan dan disamun dua suspek bermotosikal di Taman Murni, Batu 9, Cheras.

Dalam kejadian 3 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an menggunakan perkhidmatan Uber untuk pulang ke rumah di pinggir Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, difahamkan mangsa memberi lokasi salah iaitu di Taman Murni menyebabkan pemandu Uber meninggalkan kedua-dua lelaki itu di lokasi sebaik tiba.

Ibu mangsa mendakwa anaknya disamun dan dipukul dua penunggang motosikal menggunakan topi keledar selepas ditinggalkan pemandu berkenaan.

Siasatan lanjut dijalankan polis mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Jadi adakah anda yakin dengan orang yang tidak dikenali untuk memandu anda ke sesuatu destinasi?

Kita ambil contoh pertama, menggunakan perkhidmatan konvensional menaiki teksi bermeter.

Apa yang anda lihat ketika mula memasuki kenderaan yang kebiasaannya berwarna merah putih tersebut?

Tertera di papan kereta bersebelahan pemandu, identiti pemandu, lesen, dan maklumat lengkap lain termasuk pihak berkuasa yang perlu anda hubungi jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Kita ambil contoh kedua, menggunakan perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber atau Grabcar

Apa yang anda lihat ketika mula mendail lokasi yang ingin dituju? Jawapannya hanya nilai yang perlu anda bayar.

Selebihnya? Anda akan lakukan perbandingan dengan pemberi perkhidmatan lain.

Tidakkah anda peduli siapa yang bakal memandu anda ke destinasi dituju?

Seperti kebiasaannya, perkhidmatan tersebut pasti menampilkan kenderaan yang tidak melebihi usia 10 tahun dan dalam keadaan cantik.

Anda masuk ke dalam kenderaan tersebut dan yang ada hanya telefon bimbit atau peranti navigasi yang dilekatkan di cermin hadapan pemandu, itu sahaja? Ya, itu sahaja selain senyuman yang dilemparkan.

Apa disebalik senyuman itu? Bagaimana jika berniat jahat dan anda tidak tahu siapa harus dipersalahkan.

Buat masa ini, kesilapan pertama adalah di tangan anda yang memilih dan selebihnya terpulang kepada pihak berkuasa meneliti prosedur wajib bagi kedua-dua perkhidmatan baru dan konvensional.

Penulis juga tidak menolak perkara buruk boleh berlaku di mana sahaja tetapi anda adalah pengguna bijak.

sumber :- http://www.astroawani.com/berita-malaysia/guna-uber-grab-atau-teksi-selamatkah-anda-145212