Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. - Foto NSTPMei 9, 2022 @ 9:04pm
KUALA LUMPUR: Pelanggan syarikat penerbangan yang berdepan kelewatan berhak menuntut pampasan tertakluk kepada beberapa faktor bagi meneruskan perjalanan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata berdasarkan maklumat diperoleh daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), pampasan itu bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan yang berlaku.

Katanya, ia merangkumi makanan, panggilan telefon dan akses internet bagi penangguhan selama dua jam atau lebih, penginapan hotel dan pengangkutan untuk penangguhan selama lima jam atau lebih, pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif sekiranya penerbangan dibatalkan.

"Bagaimanapun, satu-satunya pengecualian pampasan patut diberikan apabila berlaku keadaan luar biasa yang mendatangkan risiko keselamatan atau cuaca ekstrim yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkakannya.

"Justeru, sekiranya pengguna perkhidmatan penerbangan berpendapat tidak mendapat pampasan sewajarnya, boleh kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan sebelum menghubungi MAVCOM," katanya dalam satu ciapan di Twitternya.

Baru-baru ini, viral di media sosial mengenai rungutan pengguna perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan tambang rendah yang berdepan masalah kelewatan hingga mengundang masalah kepada mereka.

Alexander berkata, beliau mengambil maklum mengenai rungutan, aduan dan keluhan disuarakan oleh pengguna berhubung kelewatan penerbangan syarikat itu membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.

"Kelewatan yang berlaku ini dikesan sejak penghujung bulan lalu dan masih berlanjutan.

"Pihak kementerian akan terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna, selain bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi merungkai permasalahan ini demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/953572/pelanggan-syarikat-penerbangan-boleh-tuntut-pampasan-akibat-kelewatan