KUALA LUMPUR: Pengendali terminal memerlukan dana yang lebih besar untuk memenuhi kriteria gred A sebagaimana ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), susulan pelaksanaan lesen terminal dan stesen pengangkutan awam di seluruh negara.Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn Bhd, Md Yusof Abdullah, berkata pihaknya selaku pengendali terminal swasta menyambut baik langkah APAD melesenkan terminal, malah pihaknya kini sedang menaik taraf sistem jualan tiket bersepadu (CTS).Bagaimanapun katanya, pihaknya baru dimaklumkan mengenai penentuan gred A, B dan C di setiap terminal.
Katanya, untuk memenuhi kriteria gred A, pihak terminal memerlukan dana lebih besar dan masa lebih panjang kerana ia membabitkan kerja naik taraf dalam skala besar, contohnya terminal perlu menyediakan tempat letak kenderaan berbumbung.“Kriteria lain antaranya menyediakan fasiliti laluan khas orang kurang upaya (OKU) dan kemudahan tempat rehat untuk keselesaan pemandu bas.“Setakat ini sumber pendapatan kami daripada operasi terminal dan pusat beli belah tidak mencukupi untuk menampung kos naik taraf berkenaan dalam masa terdekat, dan amat berharap bantuan daripada pihak kerajaan negeri atau Persekutuan sebagaimana pelaksanaan Terminal Bersepadu Sentral (TBS).“Untuk makluman, kadar sewa yang dikenakan ke atas peniaga pusat beli-belah berkenaan adalah rendah berbanding pusat beli-belah lain bagi membantu peniaga Bumiputera di premis itu,” katanya kepada BH.Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan APAD untuk melesenkan lebih 120 terminal dan stesen pengangkutan awam seluruh negara, bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengawal caj dikenakan pengguna.
Pengendali yang gagal mematuhi syarat lesen boleh didenda sehingga RM500,000.Susulan itu, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) meminta kerajaan memastikan pengendali terminal tidak menaikkan kadar bayaran platform dan komisen tiket.Dalam pada itu, Md Yusof berkata, walaupun terminal akan dilesenkan pihaknya tetap mengekalkan caj platform dan komisen tiket yang sama ke atas pengusaha bas.Katanya, ketika ini caj terminal yang dikenakan adalah RM7 manakala komisen tiket sebanyak 10 peratus atau RM3 atau mana-mana lebih rendah, dengan ada komisen tiket hanya dikenakan 50 sen.
“Mengikut peraturan lesen oleh APAD memang ada klausa caj fasiliti dikenakan ke atas penumpang iaitu antara 50 sen hingga RM1 mengikut gred terminal dan ketika ini pihak kami hanya mengenakan 70 sen.“Ketika ini kira-kira 10,000 pengunjung di terminal ini dan 200 perjalanan bas setiap hari, namun jumlah itu masing-masing meningkat dua kali ganda menjelang musim perayaan,” katanya.Sementara itu, Pengarah Urusan Maju TMas Sdn Bhd, Roslan Shariff, berkata selaku pengendali pengendali TBS berkata, pihaknya menyambut cadangan untuk melesenkan terminal dan menganggap ia sebagai satu penanda aras dalam memartabatkan terminal bas dan stesen pengangkutan awam di negara ini.Katanya, TBS tidak mengenakan caj fasiliti kepada penumpang atau caj platform dan komisen tiket kepada pengusaha bas kerana diberi subsidi oleh kerajaan.
“Sebanyak 1,200 bas berhenti di TBS setiap hari dan di TBS, kami sudah dilengkapi sistem CTS serta pelbagai fasiliti untuk pengunjung dan pemandu bas.“Sebagai contoh, kami sediakan ruang legar untuk pemandu bas mandi, solat, makan dan berehat selain ada bilik rawatan awal untuk insiden kecemasan seperti warga emas, ibu hamil dan kanak-kanak.“Bagaimanapun bagi pengendali terminal yang bergerak sendirian mungkin memerlukan masa dan dana untuk menyediakan fasiliti lengkap, rundingan secara menyeluruh perlu diadakan supaya caj yang dikenakan tidak menjejaskan operasi.“Turut dicadangkan supaya semua pengendali terminal menggunakan sistem CTS kerana ia menjimatkan masa, mengurangkan tenaga kerja di kaunter dan membanteras kegiatan ulat tiket yang menaikkan harga sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan reputasi terminal,” katanya.