SEMENYIH: Kerajaan sememangnya bercadang untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di negara ini, namun akan dilakukan secara berperingkat dan perlu melalui proses yang betul, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.Beliau berkata proses pengambilalihan tol lebuh raya memerlukan perbincangan menyeluruh seperti melihat kembali perjanjian yang ditandatangani serta implikasi kewangan yang bakal terjadi selepas pengambilalihan.“Satu per satu lah (ambil alih tol), tadi kamu (pemberita) kata beban kewangan besar bila laksanakan ambil alih.“Apabila kerajaan ambil empat (tol) kata tidak ada kemampuan nak bayar, sekarang nak suruh ambil lagi satu pula,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang bertanya mengapa kerajaan tidak turut mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya milik Plus Malaysia Berhad (PLUS).Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kerajaan sudah pun memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat terbabit mempunyai pegangan majoriti.Menurut kenyataan itu, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.Berdasarkan kenyataan itu, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan, yang mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.
Semasa tempoh ‘off-peak’ (luar waktu puncak) antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART. - BERNAMA