KUALA LUMPUR, 16 Januari 2019 -- Bersempena sambutan perayaan Thaipusam pada Isnin ini, Rapid Bus Sdn Bhd, selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, akan menyediakan perkhidmatan khas untuk kemudahan pengguna yang meraikan perayaan tersebut. Perkhidmatan selama dua hari ini akan bermula pada 20 Januari hingga 21 Januari 2019. Kemudahan ini disediakan untuk pengguna mengunjungi Batu Caves serta menggalakan pengunjung menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan di kawasan tersebut.
Sebanyak 18 buah bas disediakan untuk laluan dari Hab Bas Pasar Seni ke Batu Caves melalui Jalan Ipoh dan Jalan Kuching.
Manakala dua bas disediakan dari stesen LRT Gombak ke Batu Caves melalui jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan kekerapan masing-masing 15 minit dan 30 minit.
Kadar tambang sehala yang dikenakan adalah RM3 bagi laluan dari Pasar Seni dan RM2 dari stesen LRT Gombak. Kaedah pembayaran adalah tunai sahaja. Waktu perkhidmatan bagi dua perkhidmatan khas ini bermula dari jam 5.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan RapidKL : 03-7885 2585 atau berhubung dengan kami menerusi saluran media sosial Rapid KL.