Secara amnya, masyarakat Malaysia semakin sedar tentang hakikat bahawa sumber-sumber semula jadi semakin kehabisan. Hal ini adalah hasil daripada kempen-kempen kesedaran yang dijalankan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak ketinggalan syarikat swasta.
Golongan remaja memainkan peranan yang besar di dalam hal ini. Semakin ramai pelajar, terutamanya di institusi pengajian tinggi yang mengetuai pergerakan-pergerakan yang menggalakkan orang ramai supaya menyedari bahawa manusia adalah bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Namun begitu, tidak banyak yang diketahui tentang cara yang terbaik untuk memaksimumkan kapasiti pelajar-pelajar ini dalam usaha untuk mempromosikan ’penggunaan lestari’, terutamanya dari segi kecekapan dan penjimatan tenaga. Lebih banyak kempen kesedaran dan program ’outreach’ perlu dilakukan supaya mesej tentang kecekapan tenaga dapat disampaikan dengan lebih efektif kepada golongan pelajar dan remaja.
Walaupun kemajuan saintifik telah mendalamkan kefahaman kita dalam penggunaan sumber-sumber semula jadi yang terhad, namun kita memerlukan sokongan yang lebih banyak daripada masyarakat umum, terutamanya golongan remaja. Hal ini disebabkan golongan ini merupakan kumpulan yang dominan dalam membentuk masa hadapan. Sikap dan kemahuan mereka untuk berubah dan menerima konsep ’kecekapan tenaga’ akan menjadi kayu ukur untuk kapasiti Malaysia dalam hal ini untuk dekad-dekad yang akan datang. Golongan inilah yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan. Oleh itu semua pihak perlu bertanggungjawab dalam melaksanakan impian ini.
Ahmad Faiz Abdul Razak
Jurutera Eksekutif, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
3 Jun 2010