Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan kemungkinan untuk memansuhkan PMR and UPSR bagi mengelakkan sistem pendidikan negara terus berorientasikan peperiksaan. Cadangan ini telah mendapat sokongan banyak pihak.
Minda pelajar kita telah dibentuk selama ini untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Dalam mencapai graf kecemerlangan ini, guru-guru dan pengusaha pusat tuisyen melakukan analisa terhadap setiap kertas peperiksaan tahunan dan mencipta cara-cara atau strategi untuk menjawab peperiksaan tersebut. Dan setiap kalinya, cara-cara ini berkesan dan pelajar yang mampu mengikuti strategi menjawab soalan, mendapat keputusan yang cemerlang.
Dalam erti kata lain, setiap tahun, cara soalan dibentuk dalam peperiksaan awam adalah serupa. Contohnya, untuk peperiksaan kertas Sejarah PMR 2000, soalan 3 mengenai bab kelima dalam buku teks, dan soalan yang sama akan diulang semula (atau diubah soalannya tetapi masih tajuk yang sama) dalam kertas sejarah 2005. Dan keadaan ini bukan setakat untuk kertas sejarah, tetapi dalam semua matapelajaran utama peperiksaan. Pelajar hanya perlu menghafal dan menuliskan jawapan yang telah diletakkan dalam otak mereka. Mereka tidak perlu berfikir dan tidak perlu memberikan jawapan yang lain, kerana semuanya sudah tersedia. Hanya untuk dihafal.
Inilah cara pendidikan kita sejak dahulu lagi. Isunya di sini, bukan terletak kepada peperiksaan awam yang membebankan atau gagal menyediakan pelajar bijak, tetapi sistem pembelajaran yang telah sekian lama ada di negara kita. Pelajar tidak diberikan kebebasan untuk mengekpresikan pendapat dan hanya dibenarkan untuk menjawab soalan berdasarkan nota matapelajaran dan silibus yang diberikan.
Sebagai contoh jika ditanya apakah itu mesin? Anda tidak akan boleh menjawab “mesin adalah satu teknologi yang memudahkan kerja manusia. untuk mengira, manusia mencipta kalkulator” dan mendapatkan markah untuk itu, anda perlu memberikan definisi mesin yang mana merujuk kepada “suatu alat yang terdiri daripada bahagian yang saling berkaitan dengan fungsi yang berasingan, yang digunakan dalam prestasi beberapa jenis pekerjaan” (www. dictionary.reference.com)
Persoalannya, adakah pelajar faham definisi yang telah mereka hafal ini? Mungkin ya, mungkin tidak. Keadaan ini berterusan sehingga di universiti. Walaupun pendekatan pensyarah berbeza, (dengan tidak menyediakan nota, tetapi senarai rujukan), siswazah telah sekian lama terdidik menggunakan kaedah menghafal untuk menjawab peperiksaan.
Tidak hairanlah, walaupun dengan keputusan cemerlang tidak menjadikan seseorang itu fasih berbahasa bahasa lain atau benar-benar pintar, mereka adalah golongan yang mempunyai daya ingatan yang baik semata dan kemampuan/kemahiran mereka tentulah dipersoalkan.
Jika kementerian melihat kepada dengan mengeluarkan dua peperiksaan utama ini membolehkan pendidikan cemerlang terlaksana, tidakkah kementerian melihat kepada keperluan untuk memansuhkan juga ujian bulanan, peperiksaan penggal/ pertengahan tahun, peperiksaan akhir tahun? Masih banyak lagi peperiksaan yang terpaksa dihadapi pelajar. Ditambah lagi dengan tugasan atau kerja rumah yang diberikan guru. Bukankah itu juga membebankan pelajar?
Di sini bukan peperiksaan itu menjadi isu, tetapi sistem pembelajaran dan pengajaran itu sendiri. Selama 11 tahun di alam persekolahan, pelajar dimomokkan dengan sistem penghafalan makna dan pelajaran. Mereka tidak mendapat ilmu, mereka tidak medapat pengetahuan, mereka cuma menghafal.
Azwa Abd Rahman
Bhgn Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia