Ketika membahaskan tentang Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Pindaan) 2010, beberapa orang Ahli Perlimen telah mencadangkan supaya mata pelajaran khusus tentang kepenggunaan diwujudkan di sekolah rendah. Ini bertujuan agar ilmu kepenggunaan diberikan secara khusus melalui mata pelajaran tersebut kepada para pelajar di peringkat sekolah rendah.

Cadangan yang dibuat oleh beberapa orang wakil rakyat itu menunjukkan keprihatinan mereka peri pentingnya pendidikan kepenggunaan diajar kepada kanak-kanak agar mereka dapat terdidik sebagai pengguna yang bijak dan berpengetahuan.

Isu tentang mata pelajaran khusus tentang kepenggunaan ini telah lama diperkatakan oleh pergerakan pengguna di Malaysia. Perjuangan agar ilmu kepenggunaan ini diajar di sekolah memang menjadi perjuangan pergerakan pengguna pada tahun 1980-an. Begitu juga dengan perjuangan agar diwujudkan Kelab Pengguna Sekolah. Beberapa perbincangan juga diadakan dengan pegawai Kementerian Pelajaran tentang perkara ini.

Hasil perbincangan yang dijalankan, dipersetujui bahawa pendidikan kepenggunaan perlu diajar di sekolah, namun ia bukannya dalam satu mata pelajaran yang khusus. Sebaliknya pendidikan kepenggunaan dimasukkan dalam sukatan pelajaran bagi beberapa mata pelajaran, seperti kemahiran hidup, matematik, sains dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menjadikan pendidikan kepenggunaan itu merentasi kurikulum. Semenjak iui ilmu kepenggunaan dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah rendah, termasuk juga sekolah menengah, khususnya bagi mata pelajaran perdagangan, ekonomi dan sebagainya.

Kini cadangan mewujudkan mata pelajaran kepenggunaan timbul kembali. Mungkin cadangan ini perlu diberikan perhatian yang serius memandangkan keadaan gaya hidup kanak-kanak pada masa ini. Kanak-kanak begitu terdedah dengan pelbagai pengaruh, khususnya pengaruh iklan menyebabkan mereka terpengaruh mengambil makanan dan menggunakan produk berdasarkan pengaruh iklan tersebut.

Hasil daripada tinjauan ketika mengadakan sesi pendidikan kepenggunaan di sekolah rendah, mendapati bahawa kanak-kanak tidak didedahkan dengan pendidikan kepenggunaan, khususnya hak-hak dan tanggungjawab pengguna. Mungkin hak-hak dan tanggungjawab pengguna ada diselitkan dalam beberapa mata pelajaran, lantaran tumpuan tidak diberikan, maka ia terlepas pandang oleh kanak-kanak sekolah tersebut.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia, perlu memberikan perhatian terhadap pendidikan kepenggunaan di sekolah. Aspek pendidikan kepenggunaan merentasi kurikulum masih lagi relevan. Tidak semestinya diwujudkan satu mata pelajaran kepenggunaan yang khusus. Apa yang perlu dilakukan ialah menambah elemen ilmu kepenggunaan dalam sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang berkaitan.

Dengan mendapat ilmu kepenggunaan ini, kanak-kanak sekolah ini dapat dihindar daripada mengambil makanan dan minuman yang tidak berkhasiat, menjalani gaya hidup lestari, menabung untuk keperluan masa hadapan dan sebagainya.

Apa yang penting mereka ini terdidik sebagai pengguna yang bijak dan berpengetahuan dalam menjalani kehidupan mereka seterusnya.

 

Mohd Yusof Abdul Rahman